Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin disahkan berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Putrajaya.

Pihak pengurusan Hospital Putrajaya dalam kenyataan malam Isnin berkata beliau masih di bawah pemerhatian hospital selama 24 jam dan dijangka akan dibenarkan keluar pada Selasa.

Sebarang pertanyaan dan keterangan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Unit Perhubungan Awam hospital berkenaan di talian 03-8312 4371.

Pagi tadi, Mohamed Hanipa pengsan pada perjumpaan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama warga Jabatan Perdana Menteri.

Beliau yang berdiri paling kanan dalam barisan menteri dan timbalan menteri JPM, tiba-tiba jatuh dari pentas.

Ahli Parlimen Sepang itu terus diberikan rawatan kecemasan oleh anggota paramedik sebelum dikejarkan ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Mohamed Hanipa yang bertanggungjawab dalam undang-undang adalah antara tiga timbalan menteri di JPM yang baharu mengangkat sumpah pada 2 Julai lepas.

Pada 4 April 2016, Mohamed Hanipa pernah dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) apabila didapati pengsan ketika persidangan Dewan Rakyat.

Menurut laporan media, Mohamed Hanipa menjalani pembedahan selepas kejadian itu berikutan pendarahan otak akibat tekanan darah tinggi. -- BERNAMA