Monsun Timur Laut dijangka bermula lebih awal - MetMalaysia

Astro Awani
November 3, 2022 09:30 MYT
Hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan banjir di kawasan-kawasan berkedudukan rendah dan berhampiran sungai. - Bernama
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini memaklumkan monsun timur laut (MTL) akan berlaku lebih awal dari jangkaan, ketika negara bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, seperti musim-musim yang lalu, hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan-kawasan berkedudukan rendah dan berhampiran sungai.
"Sekiranya hujan lebat berterusan berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar, risiko kejadian banjir boleh meningkat.
"Kejadian air pasang besar dijangka berlaku dalam tempoh antara 6-11 dan 22-27 November 2022; 7-12 dan 22-26 Disember 2022 dan 6-10 dan 21-25 Januari 2023," katanya dalam satu kenyataan.
Orang ramai dinasihatkan agar bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh serta sentiasa peka dengan maklumat, nasihat dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MetMalaysia.
#MetMalaysia #banjir #hujan lebat #monsun timur laut