Moody's Investors Service mengurangkan ramalan harga minyak jangka terdekat untuk West Texas Intermediate (WTI) dan Brent selepas kegawatan ekonomi yang berterusan di Amerika Syarikat (AS) serta negara maju lain sehingga permintaan bagi produk minyak terus merosot sebelum pemulihan ekonomi pada 2021.

Naib Presiden dan Pegawai Kredit Kanan Moody's, Elena Nadtotchi berkata harga jangka pendek yang lemah ini akan berterusan sehingga pengeluaran dikurangkan bagi membantu menyusutkan lebihan bekalan di fasiliti simpanan yang kini mula mencecah kapasiti penuh.

"Pelarasan bekalan yang ketara yang dijangka dibuat dalam masa terdekat akan mengimbangkan pasaran pada lewat tahun ini tetapi kadar pengimbangan semula pasaran dan kenaikan harga minyak akan bergantung kepada pemulihan permintaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Moody's meramalkan harga WTI, pada US$30 setong (bbl) untuk 2020 dan US$40 pada 2021.

Untuk penanda aras antarabangsa yang utama Brent, Moody s mengandaikan harga purata sebanyak US$35 setong bbl pada tahun ini dan US$45 menjelang 2021, berikutan pengurangan pengeluaran minyak bagi tempoh 2020-21 disebabkan perjanjian OPEC+ termasuk penutupan loji pengeluaran di Amerika Syarikat dan Kanada.

Pentadbiran Maklumat AS (EIA) menganggarkan menjelang Mei 2020, pengeluaran minyak mentah AS akan jatuh sebanyak 5.0 peratus atau kira-kira 480,000 setong sehari (bpd) dari awal tahun dan pengeluaran gas asli sebanyak 3.0 peratus.

Moody's menjangkakan pemotongan pengeluaran akan mula meningkat pada separuh kedua 2020.

Industri tersebut juga sedang mengurangkan pelaburan modal semasa, ini akan membawa kepada penurunan dalam pengeluaran di seluruh dunia pada 2021.

Agensi penarafan berkata, harga di bawah tekanan ini tidak boleh dikekalkan dalam jangka masa sederhana kerana mereka tidak menyokong pelaburan semula dalam pengeluaran, satu langkah yang perlu dalam sektor yang mana pengeluaran secara semulajadi sedang menurun.

Walaupun kemelesetan dalam permintaan minyak hanya bersifat sementara, pemulihan permintaan pada separuh kedua 2020 diramalkan akan lebih perlahan serta bergantung kepada momentum pemulihan dalam pengangkutan.

Jangkaan harga bertempoh sederhana Moody untuk gas asli Amerika Utara di Henry Hub, tanda aras industri untuk jualan harga gas asli AS akan kekal pada US$2.00-US$3.00 mmBTU memandangkan pengurangan bekalan akan membantu meningkatkan harga gas asli pada 2020.

Sementara itu, menurut Moody lagi, risiko kewangan adalah semakin meningkat dan mungkin kekal pada paras tersebut yang perlu ditanggung oleh majoriti pengeluar minyak dan gas.

Sektor penapisan dan pemasaran, yang kini terjejas akibat modal kerja dan margin yang rendah, akan menjadi yang pertama untuk mendapat manfaat daripada pemulihan permintaan. - BERNAMA