KUANTAN: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang meneliti satu dakwaan kemasukan ejen perisikan Israel, Mossad yang kononnya bertujuan menculik seorang warga Palestin seperti yang disiarkan dalam sebuah akhbar tempatan pada Selasa.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin menjelaskan, pemerhatian sedang dilakukan secara menyeluruh dan jika perlu tangkapan akan dapat diambil serta-merta.

Tambah Hamzah, jika terdapat mana-mana warga asing yang memasuki negara ini tanpa dokumen sah, kerajaan akan mengambil tindakan sewajarnya.

"Dia sebenarnya bila sesiapa sahaja yang masuk dalam negara kita dia ada dokumen yang sah. Jadi bila kita ada maklumat-maklumat yang mengatakan ada orang yang masuk menggunakan dokumen yang tidak sah kita akan pantau," tambahnya, ketika mengulas laporan akhbar Bahasa Inggeris The New Straits Times, pada Selasa. 

"Akhirnya kalau kita rasa sudah sampai masa untuk kita tangkap mereka dan kita akan ambil tindakan yang sewajarnya. Jadi maksudnya adakah betul maksudnya negara kita telah dimasuki oleh Mossad?  Sebab itulah saya jawapan saya tadi perkara-perkara yang seperti ini harus kita teliti kemudian barulah kita akan umumkan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media, selepas satu majlis Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di sini pada Selasa.

Merujuk kepada laporan berkenaan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikatakan berjaya membongkar satu jaringan perisikan Israel, Mossad di Malaysia.

Perkara tersebut terbongkar apabila dua rakyat Malaysia dikatakan ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kes penculikan warga Palestin akhir September lalu.

Wanita tempatan berusia 30 tahun dipercayai dilatih sebagai penyiasat persendirian di Perancis sebelum direkrut oleh ejen Mossad sebelum tahun 2018, turut disyaki menjadi dalang rangkaian perisikan Israel di negara ini.