KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) buat julung kalinya bakal menerajui Space Tech Nexus sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA’23) yang akan berlangsung di Langkawi, Kedah pada 23 hingga 27 Mei ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, Space Tech Nexus merupakan elemen baharu dalam penganjuran pameran dwitahunan LIMA sebagai usaha MOSTI memperkukuhkan jaringan kerjasama strategik sektor angkasa di Malaysia dengan pemain di peringkat antarabangsa.

Penglibatan MOSTI melalui MYSA dalam LIMA’23 sebagai peneraju ruang pameran komersial tersebut adalah satu daripada perancangan strategik sektor angkasa yang direncanakan ke arah pertumbuhan mampan industri angkasa negara selaras misi MOSTI mencapai negara berteknologi tinggi.

“Space Tech Nexus merupakan elemen baharu dalam penganjuran pameran dwitahunan LIMA. MINDEF dan MOT selaku penganjur LIMA’23 telah memberikan mandat kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) untuk menerajui acara dalam pameran LIMA’23 kali ini.

“Ruang pameran komersial ini merangkumi Langkawi International Space Forum (LISF) 2023, pemeteraian perjanjian persefahaman (MoU), bilateral talk (perbincangan dua hala), pameran komersial, kemas kini teknologi, side events (acara sampingan) dan lawatan teknikal.

“Penglibatan MOSTI sebagai peneraju Space Tech Nexus dijangka mampu mengukuhkan lagi jaringan kerjasama strategik sektor angkasa di antara Malaysia dengan industri angkasa, universiti dan komuniti angkasa antarabangsa serta serantau,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Angkasa Kebangsaan (JANGKA) di sini pada Rabu.

Kerjasama tersebut khususnya meliputi aspek pembangunan kapasiti, kepakaran, peluang kerjasama teknikal dan komersial yang berfaedah kepada negara dan memudah cara pelaburan industri angkasa bagi merancakkan pertumbuhan industri pemula tempatan.

Tambah Lih Kang, antara lain, perancangan strategik sektor angkasa termasuk Pelan Tindakan Dasar Angkasa Negara 2030: Malaysia Space Exploration 2030 (MSE2030), Pelan Strategik Industri Angkasa 2030 serta Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022 (Akta 834) di bawah MOSTI.

“Menerusi Pelaksanaan MSE2030, kementerian menyasarkan sumbangan sehingga RM10 bilion kepada KDNK negara daripada sektor angkasa menjelang tahun 2030, ia turut mewujudkan sehingga 5,000 peluang pekerjaan baharu dalam kategori berkemahiran tinggi.

“MSE2030 menggariskan 15 strategi, 27 inisiatif serta 79 aktiviti utama yang dirancang sehingga tahun 2030 dan bakal dilancarkan semasa penganjuran acara LIMA’23 nanti,” ujarnya.

Dalam pada itu, sebanyak 63 buah syarikat tempatan dikenal pasti terlibat dalam pembangunan industri angkasa tempatan menerusi Pelan Strategik Industri Angkasa 2030 yang dilaksanakan pada Ogos tahun lalu. Ia melibatkan 12 strategi dan 24 inisiatif.

Antara cadangan yang dikemukakan termasuk pelancaran satelit remote sensing negara beresolusi tinggi pada penghujung 2025 serta kerangka inisiatif dalam mewujudkan perkhidmatan tapak pelancar satelit tempatan.

Selain itu, Akta 834 yang telah diwartakan pada 25 Januari 2022 dilihat mampu meningkatkan keyakinan pelabur dan industri untuk terlibat dalam aktiviti angkasa negara melalui pewujudan kawal selia yang cekap selaras dengan garis panduan serta standard antarabangsa.