KUALA NERUS: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memperuntukkan sebanyak RM15.95 juta kepada 14,822 penggiat industri pelancongan di seluruh negara bagi mengharungi cabaran pasca pandemik COVID-19.

Daripada jumlah itu, seramai 8,331 pemandu pelancong menerima bantuan RM500 seorang, 3,260 agensi pengendalian pelancongan dan agensi pengembaraan menerima RM3,000 setiap agensi, 171 pengusaha spa dan pusat urutan kaki menerima RM1,000 seorang serta 3,060 pengusaha inap desa menerima RM600.

Ketua Setiausaha MOTAC Datuk Dr Noor Zari Hamat berkata, sebahagian peruntukan telah disalurkan kepada penerima secara berperingkat di seluruh negara dan pengagihan dijangka selesai sepenuhnya pada akhir bulan ini.

"Bantuan kewangan ini bertujuan menghargai dan mengiktiraf sumbangan penggiat industri selama ini agar mereka tetap bertahan dalam meneruskan operasi pelancongan walaupun terpaksa berdepan pelbagai cabaran kesan pandemik yang berlaku sejak tahun lepas.

"Kini, industri pelancongan dan kebudayaan di seluruh negara mula rancak dan kembali pulih selepas kerajaan mengumumkan pelaksanaan projek rintis gelembung pelancongan domestik, seterusnya kebenaran rentas negeri bermula 11 Oktober lepas. Kami yakin aktiviti dan operasi penggiat industri juga akan turut kembali pulih sama seperti sebelum pandemik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyampaian bantuan kewangan kepada penggiat industri pelancongan Terengganu yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman di sini hari ini.

Seramai 316 penggiat industri pelancongan di Terengganu telah menerima bantuan kewangan MOTAC dengan nilai keseluruhan sebanyak RM478,400.

Mengulas lanjut, beliau berkata selain bantuan kewangan, kementerian turut melaksanakan beberapa inisiatif berbentuk bukan kewangan kepada syarikat dan pemandu pelancong berlesen antaranya pengecualian bayaran fi lesen dan diskaun pembayaran kompaun sebanyak 40 peratus.

"Ada juga pelanjutan tempoh bayaran kompaun dan pengecualian kompaun kepada mereka yang gagal memperbaharui lesen dan kesemua inisiatif ini dilanjutkan sehingga 31 Dis depan," katanya.

-- BERNAMA