KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) sedang meneliti keperluan untuk mewujudkan satu mekanisme kawal selia terhadap syarikat Online Travel Agent (OTA).

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata kawal selia tersebut boleh memastikan kualiti perkhidmatan premis penginapan, dan dijadikan sebagai kerjasama antara kementerian dan pemegang taruh untuk terus meningkatkan industri tersebut ke tahap yang lebih baik.

Jelas beliau, ketika in tiada sebarang undang-undang atau peraturan yang mengawal selia syarikat OTA dalam negara.

"Penelitian ini, antara lain, sudah pasti turut melihat isu mengenai kadar komisen yang dikenakan oleh setiap syarikat OTA kepada premis penginapan.

"Namun, kita perlu objektif dalam menimbang perkara ini. Ini kerana, pelbagai faktor perlu diambil kira dalam memutuskan suatu dasar untuk hal ini seperti kuasa pasaran, menyokong  pembangunan digitalisasi, serta mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif untuk membolehkan sesebuah syarikat berminat untuk terus beroperasi di Malaysia," katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Abdul Latiff Abdul Rahman (Pas-Kuala Krai) meminta Menteri MOTAC menyatakan adakah Kementerian bercadang untuk menetapkan paras siling komisen harga jualan bilik melalui OTA.

Katanya, adar yang dikenakan oleh pihak OTA pada masa kini ialah sekitar 12 peratus hingga 18 peratus bagi setiap harga bilik amat membebankan kepada pengusaha hotel dan rumah tumpangan terutama musim pandemik yang mana kos operasi meningkat.

Jelas Nancy, mekanisme kawal selia itu bukan hanya menyentuh bidang kuasa MOTAC semata-mata, sebaliknya boleh merentasi bidang kuasa Kementerian lain seperti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).