JOHOR BAHRU: Isteri yang didakwa memukul suaminya sehingga maut dalam kejadian di Flat Nipah di Taman Daya, pada Jumaat positif jenis dadah methapethamine dan amphetamine.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Assisten Komisioner Raub Selamat berkata, hasil siasatan pihak polis mendapati motif pembunuhan dipercayai suspek dibawah pengaruh dadah.

Katanya polis sedang mengesan seorang lagi suspek lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes ini dan boleh membantu siasatan kes ini.

"Hasil siasatan awal polis juga mendapati mangsa berusia 44 tahun, mengalami cedera di bahagian muka dan kepala dipercayai diserang dengan objek tumpul.

"Suspek wanita berusia 36 tahun yang juga isteri si mati juga  mempunyai tiga rekod lampau iaitu dua kes berkaitan dadah dan satu kes jenayah mendatangkan kecederaan.

"Bertindak atas makluman, suspek wanita ditahan pada jam 9.15 pagi di kawasan berhampiran lokasi kejadian,"katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan seksyen 15 (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi talian hotline IPD JBS di talian 07-2182323 atau pegawai penyiasat ASP Kong Hock Peng di talian 019-7308888,"kata Raub.

Pada Jumaat pagi, mayat lelaki ditemui mati dikediaman di Flat Nipah, Taman Daya di sini dipercayai dipukul isterinya.

Ketika kejadian, anak mangsa yang berusia 11 tahun berada di rumah dan menjadi saksi utama kejadian.