KUALA LUMPUR: Keputusan Kerajaan dan Pakatan Harapan memuktamadkan Memorandum Persefahaman (MoU) disifatkan sebagai satu gencatan dan perdamaian politik antara kedua-dua pihak.

Penganalisis Politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, usaha itu sekali gus memastikan kestabilan politik negara dalam menghadapi fasa endemik tidak lama lagi.

"Bagi saya ini merupakan satu perkembangan yang cukup besar maknanya di mana kita melihat sewaktu penubuhan parlimen yang ke-62 dan kemerdekaan 64 tahun, kita mahu melihat satu reformasi politik yang seolah-olah membawa satu kontrak politik baharu.

"Saya percaya ini bukan sahaja gencatan politik, tetapi juga merupakan satu perdamaian politik antara blok kerajaan dan pembangkang. Ini menunjukkan kita sedang beralih kepada satu kematangan berpolitik yang membawa kepada reformasi institusi parlimen dan membawa kepada reformasi kepimpinan, parti, dan struktur sistem penyampaian.

"Malahan ia membolehkan kita kembali kepada kestabilan politik dalam usaha pembentukan masyarakat endemik nanti," katanya kepada Astro AWANI pada Ahad. 

BACA: MoU dimuktamadkan: Kerajaan dan PH tandatangani MoU di Parlimen esok

Selain itu juga, MoU rentas parti itu disifatkan sebagai amat positif dan boleh menjadi nilai tambah serta susulan kepada titah Yang di-Pertuan Agong sebelum ini.

"Malahan, ia telah melalui beberapa fasa yang saya rasa cukup menarik iaitu kesediaan bermusyawarah secara bipartisan, kemudian masuk fasa kedua iaitu bersedia untuk membincangkannya.

"Fasa ketiga, menilai mana yang boleh diterima, mana yang boleh ditolak dan akhirnya kita ke arah perdamaian politik. Saya rasakan itu yang mahu kita lihat," ujarnya lagi.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan ada pihak akan mengatakan tindakan itu sebagai usaha untuk memastikan keabsahan politik kerajaan. 

"Namun, apabila diteliti, ia sebenarnya adalah pengiktirafan kepada agenda dibawa pembangkang sejak sekian lama." jelas beliau.