SHAH ALAM: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil memaklumkan beberapa ahli Parlimen mengemukakan notis bagi membentangkan rang undang-undang (RUU) persendirian dalam meminda Perlembagaan Persekutuan berkaitan isu kewarganegaraan bagi anak yang dilahirkan wanita Malaysia di luar negara.

Beliau berkata, selain dirinya Fahmi Fadzil (PKR-Lembah Pantai), ahli Parlimen lain terlibat ialah Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang), Fuziah Salleh (PKR-Kuantan), Alice Lau Kiong Yieng (DAP-Lanang), dan Hannah Yeoh (DAP-Segambut).

“Pemberian notis tersebut dihantar kepada setiausaha Dewan Rakyat pada 15 September lepas.

“Tujuan notis itu diberikan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan berhubung isu kewarganegaraan bagi anak yang dilahirkan wanita Malaysia di luar negara,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Pada Isnin media melaporkan Ahli Parlimen sedang berusaha untuk meminda Perlembagaan Persekutuan untuk membolehkan seseorang ibu memberikan kewarganegaraan kepada anak-anak mereka tanpa mengira di mana bayi terbabit dilahirkan.

Ia boleh dilakukan dengan menambah perkataan 'atau ibunya' pada peruntukan perkara terbabit dalam perlembagaan bagi membolehkan kewarganegaraan diberi melalui kuat kuasa undang-undang.

Pada masa ini dua subfasal di bawah Bahagian II menyatakan, seseorang bayi yang dilahirkan di luar Malaysia 'kepada bapa Malaysia' boleh menjadi warganegara melalui kuat kuasa undang-undang.

Bulan lalu sebuah pertubuhan badan kerajaan (NGO), Family Frontiers, dan enam ibu warga Malaysia memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan dalam usaha mereka supaya ibu warga Malaysia diberikan hak yang sama seperti lelaki rakyat Malaysia untuk memberikan kewarganegaraan kepada anak mereka yang lahir di luar negara.

Pada 5 Ogos, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan kerajaan untuk membatalkan keputusan penting oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2021 bahawa wanita warganegara Malaysia juga boleh memberikan kewarganegaraan kepada anak mereka yang dilahirkan di negara luar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerajaan tidak akan membentangkan pindaan perlembagaan berhubung perkara itu sehingga Mahkamah Persekutuan membuat keputusan berhubung rayuan tersebut. -- Sinar Harian