MPN tidak setuju lantikan Naib Canselor dan timbalan di universiti awam tanpa persetujuan jawatankuasa universiti

Bernama
Mac 23, 2022 14:20 MYT
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MPN Profesor Datuk Dr Raduan Che Rose berkata lantikan seumpama itu tidak mengikut prosedur yang lazim dilakukan serta budaya akademik semasa. - Gambar fail/BERNAMA
KAJANG: Majlis Profesor Negara (MPN) tidak bersetuju dengan lantikan Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor universiti awam tanpa persetujuan jawatankuasa universiti tersebut.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MPN Profesor Datuk Dr Raduan Che Rose berkata lantikan seumpama itu tidak mengikut prosedur yang lazim dilakukan serta budaya akademik semasa.
Beliau berkata Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor adalah pemimpin utama universiti awam dan lantikan mereka dibuat dengan keputusan Menteri Pengajian Tinggi, namun ia hendaklah dibantu oleh sebuah jawatankuasa bagi memilih calon sesuai.
"Saya telah dihujani banyak panggilan dan aduan dari kalangan warga akademik yang menyatakan rasa ketidakpuasan hati mereka atas lantikan sebegini yang tidak melalui saluran biasa dan antara aduan tersebut juga ialah calon yang dipilih bukan dari ahli senat universiti dan tidak mempunyai modul kepimpinan yang tinggi," katanya kepada pemberita di pejabat MPN di sini hari ini.
Menurutnya calon bagi jawatan berkenaan perlu mempunyai ciri-ciri utama seperti memiliki kelulusan akademik yang tinggi dan berkemahiran menguruskan organisasi besar seperti universiti.
Raduan berkata MPN berasa terpanggil untuk memberikan teguran dan memohon supaya kerajaan mengelakkan lantikan tanpa persetujuan jawatankuasa universiti supaya mereka yang dilantik merupakan individu terbaik bagi kepentingan universiti tersebut.
"Bidang akademik adalah merupakan pelaburan penting negara dan adalah diharapkan dengan mendapat calon terbaik maka taraf universiti awam akan dapat dipertingkatkan lagi sehingga ke tahap antarabangsa," katanya.
-- BERNAMA
#Majlis Profesor Negara #MPN #lantikan naib canselor #Timbalan Naib Canselor #universiti awam #jawatankuasa universiti #raduan che rose