SEPANG: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) mengingatkan orang ramai supaya tidak mengunjungi Pantai Bagan Lalang di sini berikutan fenomena air pasang besar yang diramal berlaku Rabu ini.

Timbalan Yang Dipertua MPSepang, Zulnaidy Zulkifli berkata, larangan itu bagi mengelak insiden tidak diingini berikutan paras air laut dijangka pada ketinggian antara 5.2 meter hingga 5.6 meter.

Menurutnya, Skuad Pantas akan digerakkan ke lokasi bagi membuat pemantauan dan penguatkuasaan di kawasan terbabit.

"Skuad Pantas akan mengarahkan orang ramai beredar sekiranya air laut naik," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

MPSepang juga bersiap sedia menggerakkan petugas dan aset sekiranya berlaku banjir akibat air pasang besar.

Tambahnya, anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut ditempatkan di Pantai Bagan Lalang bagi memantau keadaan air laut sekiranya berlaku fenomena berkenaan itu.

BACA: Air pasang besar: Orang awam dilarang ke pantai di Kuala Langat

BACA: Fenomena air pasang besar landa empat negeri mulai 4 Nov



Artikel asal di Sinar Harian