KUALA LUMPUR : Sumbangan RM2.29 juta oleh Majlis Getah Malaysia (MRC) kepada Kementerian Kesihatan (KKM) adalah bertujuan untuk membantu meringankan tugas petugas barisan hadapan, selain memastikan rakyat mendapat perkhidmatan kesihatan yang baik sepanjang pandemik COVID-19.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MRC, Nurul Islam Mohamed Yusoff, sumbangan yang dibuat menerusi Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) itu turut memperuntukkan RM1.5 juta untuk pembelian 10 mesin ventilator yang akan diagihkan kepada hospital-hospital terpilih.

"Melalui Program Bantuan Prihatin Untuk Institusi Kesihatan, MRC menerusi Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) menyalurkan sumbangan kepada Pusat Penilaian COVID-19 (CAC), Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah COVID-19 (PKRC) dan hospital-hospital serta pusat-pusat pemberian vaksin (PPV) terpilih di seluruh negara.

"Sebanyak RM1.5 juta daripada jumlah sumbangan tersebut disediakan untuk pembelian 10 unit mesin ventilator kepada hospital-hospital terpilih.

"Manakala RM290,000 akan disalurkan kepada CAC dan PKRC untuk penyediaan alat pelindung diri (PPE) dan peralatan bukan perubatan seperti komputer riba.

"Bagi PPV pula, sumbangan sebanyak RM500,000 disalurkan," katanya dalam satu kenyataan.

Antara lokasi-lokasi yang terpilih adalah CAC di Seremban, Negeri Sembilan dan Sandakan, Sabah; PKRC di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang; PPV di Terengganu, Melaka, Kedah, Kelantan dan Selangor serta hospital-hospital di Lembah Klang iaitu di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Hospital Selayang serta Hospital Kajang.

Ujar beliau, ini juga adalah merupakan salah satu inisiatif di bawah Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) majlis itu.