PUTRAJAYA: Kerajaan akan membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Perhutanan Negara (Pindaan) 2020 bagi Seksyen 11 dan 12 pada sesi pertama Parlimen tahun hadapan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, perkara itu telah mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Tanah Negara (MTN) ke-79, Jabatan Peguam Negara, serta Jemaah Kabinet.

Jelas Perdana Menteri lagi, selain RUU tersebut, terdapat tiga lagi kertas telah dibentangkan di Mesyuarat MTN, mengenai beberapa dasar penting berkaitan dengan perhutanan dan perlombongan.

"Mesyuarat MTN Ke-79 telah bersetuju dengan Rang Undang-undang (RUU) Perhutanan Negara (Pindaan) 2020 bagi Seksyen 11 dan 12 yang telah diluluskan oleh Jabatan Peguam Negara pada 3 Disember 2020 dan Jemaah Menteri pada 6 Januari 2021.

“Dalam konteks ini pemakaian Rang Undang-undang (RUU) Perhutanan Negara (Pindaan) 2020 hanya akan terpakai di negeri-negeri setelah Dewan Undangan Negeri (DUN) meminda Enakmen Perhutanan (Pemakaian) masing-masing,” katanya lagi.

Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, MTN juga telah bersetuju dengan Tindakan Penguatkuasaan dan Penyelesaian Terhadap Penerokaan Haram dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Semenanjung Malaysia.

Semua kerajaan negeri, kata Perdana Menteri, perlu melaksanakan tindakan penguatkuasaan dan penyelesaian terhadap penerokaan haram di setiap negeri selewat-lewatnya pada 1 Jun 2022.

Selain itu, katanya lagi, MTN juga telah bersetuju secara prinsip dengan pelaksanaan Moratorium Kelulusan Baharu Penubuhan Ladang Hutan dalam HSK di Semenanjung Malaysia selama 15 tahun.

“Dalam hal ini, MTN Ke-79 juga mengambil perhatian bahawa terdapat 127,050.25 hektar Zon Pembangunan Ladang Hutan dalam HSK yang belum diluluskan kepada mana-mana syarikat.

“Oleh yang demikian, sebelum moratorium dikenakan ke atas kawasan tersebut, Kerajaan Negeri yang ingin meneruskan pembangunan ladang hutan perlu melaksanakan perundingan secara terperinci dengan KeTSA bagi memastikan syarikat-syarikat yang akan dilantik mematuhi apa-apa syarat yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi serta lain-lain perundangan yang berkuatkuasa,” kata Ismail Sabri.

Perdana Menteri berkata, MTN Ke-79 juga telah mengesahkan keputusan-keputusan Mesyuarat Majlis Mineral Pertama yang dipengerusikan oleh YB Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa & Industri (Datuk Seri Azmin Ali) pada 16 Februari 2021.

“Keputusan-keputusan yang telah dibuat dalam Mesyuarat Majlis Mineral, katanya lagi, perlu dibawa untuk persetujuan dan pengesahan MTN.

“Ini bagi membolehkan keputusan-keputusan tersebut dipersetujui dan disahkan khususnya yang melibatkan aspek perundangan seperti Perlembagaan Persekutuan, Kanun Tanah Negara serta enakmen berkaitan di peringkat negeri,” kata Perdana Menteri.