JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor berharap supaya daerah Muar, kepulauan Mersing dan Desaru Coast yang telah mencapai kadar vaksinasi COVID-19 melebihi 80 peratus, dapat dijadikan destinasi di bawah program gelembung pelancongan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata perbincangan bersama Tourism Johor telah dibuat bagi memohon kerajaan pusat menerusi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mempertimbangkan perkara tersebut.

Beliau berkata kepulauan Mersing atau lebih dikenali sebagai 'Maldives of Malaysia' telah mencapai 100 peratus vaksinasi atau 594 orang bagi keseluruhan penduduk dan pekerja resort.

"Muar yang terkenal dengan panorama yang cantik, bangunan bersejarah dan makanan sangat sedap telah mencapai imuniti kelompok pada 4 September dengan seramai 168,396 penduduk iaitu 84.24 peratus telah menerima dos kedua vaksin COVID-19.

"Sementara itu, Desaru Coast, Kota Tinggi yang dinobatkan 'World's Greatest Places 2021' telah mencapai 91 peratus vaksinasi atau 1,210 pekerja telah menerima dos kedua," katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Oleh itu sebagai permulaan, beliau berharap agar kerajaan pusat dapat mempertimbangkan tiga kawasan berkenaan di dalam program gelembung pelancongan tersebut.

Onn Hafiz berkata Tourism Johor dan seluruh pemain industri pelancongan di negeri ini menyambut baik inisiatif gelembung pelancongan yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta membenarkan destinasi yang telah mencapai kadar vaksinasi 80 peratus untuk beroperasi.

Beliau percaya inisiatif berkenaan akan memberi sinar baharu kepada pemain industri pelancongan yang telah suram sejak bermulanya pandemik COVID-19.

Ismail Sabri baru-baru ini berkata Langkawi dibuka kembali kepada pelancong tempatan bermula 16 Sept ini sebagai projek rintis program gelembung pelancongan manakala destinasi pelancongan lain dibenarkan beroperasi apabila kadar vaksinasi lokaliti telah mencapai 80 peratus.

-- BERNAMA