JOHOR BAHRU: Mutu permainan penyerang kebangsaan Muhammad Safawi Rasid semakin meningkat selepas bersama kelab bola sepak Portugal, Portimonense SC selama tiga bulan pada musim lepas, kata Ketua Jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT) Benjamin Mora.

Mora berkata Muhammad Safawi memiliki peluang terbaik untuk belajar melalui pengalaman dengan sebuah pasukan yang bersaing di dalam antara liga teratas Eropah dan memahami kehendak di peringkat tertinggi.

"Jika Safawi tidak meningkat selepas berlatih di Portugal, maka itu hanyalah membuang masa.

"Beliau berpeluang untuk ke tempat lain bagi melihat sendiri bagaimana latihan dan kehendak yang perlu dipenuhi, saya rasa beliau tahu apa yang perlu dibuat," katanya kepada pemberita selepas perlawanan Piala Sumbangsih, Jumaat malam.

Muhammad Safawi menjaringkan gol pada hari lahirnya yang ke-24 itu untuk membantu JDT mengekalkan piala itu buat empat musim berturut-turut selepas menewaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim.

Muhammad Safawi berpindah ke Portimonense SC Oktober lepas tetapi tidak berpeluang untuk melakukan aksi sulungnya di Liga Primeira dan hanya memanaskan bangku simpanan pasukan bimbingan jurulatih Paulo Sergio.

Bagaimanapun beliau diturunkan buat kali pertama dalam pasukan Portimonense SC bawah 23 tahun (B-23) tetapi ia tewas 1-3 kepada Sporting Lisbon dalam pertandingan Liga Portugis B-23.

Beliau yang dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai pada 2018 dan 2019 dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan kemudian kembali menyertai skuad Harimau Selatan.

"Beliau sering melakukan kelainan dengan sepakan percuma, penalti dan sepakan untuk jaringan gol. Bagi saya Safawi seorang pemain hebat dan aset penting JDT. Syukur kami mendapat beliau kembali dan membantu kami untuk menang dan hari ini (semalam) terbukti, beliau bermain dengan baik," kata jurulatih berusia 41 tahun berasal dari Mexico itu.

-- BERNAMA