Calon yang gagal terpilih pada proses pemilihan parti tidak harus berasa kecewa sebaliknya perlu menerima keputusan dengan hati terbuka, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, kegagalan tidak boleh dianggap sebagai penutup ruang untuk berkhidmat di dalam parti sebaliknya mereka masih boleh menabur bakti di peringkat akar umbi.

Selaku Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin berkata calon yang gagal perlu menyokong penuh mereka yang terpilih demi keutuhan parti.

Menerusi amalan demokrasi, beliau tidak menganggap proses pemilihan sebagai perebutan jawatan tetapi ia lebih kepada proses penawaran diri yang akan dipilih perwakilan sekiranya layak menggalas jawatan.

Beliau berharap proses pemilihan tidak akan mencemarkan dan melemahkan UMNO sebaliknya harus menambah kekuatan parti bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.



Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Penyerahan Lembu Korban peringkat Parlimen Pagoh di Kompleks Seri Pekembar.

Sebanyak 205 ekor lembu diserahkan kepada ketua-ketua jabatan dan cawangan di parlimen berkenaan.
Katanya, UMNO yang menjadi tunggak Barisan Nasional sentiasa menjadi tumpuan di mata masyarakat umum termasuk di media massa bukan berbahasa Melayu yang sentiasa memberikan penilaian seseorang tokoh politik.

Beliau berkata, kaedah baharu yang diperkenalkan pada proses pemilihan kali ini melihatkan UMNO menjalani proses transformasi dan meyakini proses berkenaan berjalan lancar tanpa kewujudan sebarang masalah.

Dalam perkembangan lain, berlakunya kekurangan kertas undi di beberapa peringkat bahagian pada pemilihan ketiga-tiga sayap UMNO hari ini, Muhyiddin menyerahkan kepada kebijaksanaan jawatankuasa di peringkat bahagian untuk menanganinya.