KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) mengumumkan Tan Sri Muhyiddin Yassin diberikan mandat sebagai Ketua Ahli Parlimen PN, sementara Tan Sri Abdul Hadi Awang dilantik sebagai timbalannya.

Perkara berkenaan diumumkan Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainuddin pada Ahad, menyusul persetujuan Majlis Tertinggi PN.

Terdahulu, PN pada Sabtu mengesahkan bahawa Hamzah diberi tangungjawab menggalas jawatan Ketua Pembangkang.

Dalam kenyataan sama, Hamzah turut mengumumkan pelantikan Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebagai Ketua Whip Pembangkang dan Datuk Seri Ronald Kiandee sebagai timbalannya.

"Parti Perikatan Nasional percaya pelantikan ini dapat memperkukuh dan memperkasa peranan Ahli Parlimen PN sebagai pihak pembangkang yang berwibawa dalam membawa suara serta kepentingan rakyat di Dewan Rakyat kali ini," jelas Hamzah.

Dewan Rakyat bakal bersidang pada 19 Disember, yang antara lain bakal menyaksikan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri.

Pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), PN menang 74 kerusi Parlimen, di belakang Pakatan Harapan dengan 82 kerusi.