KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan bahawa beliau telah menerima Akuan Bersumpah (SD) dari dua Ahli Parlimen pembangkang pada Sabtu.

Menerusi ciapan terbaharu di laman twitternya, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), turut memuat naik beberapa gambar serahan Akuan Bersumpah daripada Ahli Parlimen terbabit.

"Hari ini saya menerima Akuan Bersumpah (SD) daripada dua Ahli Parlimen pembangkang yang menyatakan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"SD diserah oleh Ahli Parlimen Julau, YB Larry Sng Wei Shien dan Ahli Parlimen Tebrau, YB Steven Choong Shiau Yoon," katanya.

BACA: 2 MP PKR sah keluar parti, nyata sokongan kepada Muhyiddin

Terdahulu, Ahli Parlimen Julau, Larry Sng mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Ketua Parti Keadilan (PKR) Sarawak sekali gus keluar parti.

Pengumuman itu dibuat dalam sidang video pada Sabtu.

Manakala sumber sebelum ini mendedahkan Ahli Parlimen Tebrau, Stephen Choong juga bertindak meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum menyatakan sokongan terhadap PN.