Kerajaan Kedah belum bercadang mewajibkan semua Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) mengisytiharkan harta dan liabiliti mereka, kata Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Beliau berkata ketika ini belum ada lagi konflik kepentingan yang memerlukan semua Adun berbuat demikian.

"(Hanya) di peringkat exco sekarang ini mesti isytihar harta dan liabiliti kepada saya. Itupun sulit, untuk pengetahuan saya sahaja. Ia seperti mana saya sebagai Menteri Besar mengisytiharkan harta dan liabiliti kepada Perdana Menteri," katanya kepada pemberita hari ini.

Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) Datuk Johan Jaafar sebelum ini dilapor sebagai berkata panel itu mencadangkan agar semua Adun dan Anggota Parlimen mengisytiharkan harta setiap tahun kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membuktikan komitmen mereka untuk memerangi gejala rasuah.

Mukhriz berkata kerajaan negeri mengambil pendekatan yang serius berhubung kemungkinan berlaku sebarang perkara tidak diingini, dan dalam hal ini, setiap Adun faham akan tanggungjawab mereka.

"Untuk Exco, dari hari pertama mereka dah dimaklumkan perkara ini. Adun belum lagi. Kalau rasa perlu, kita akan pertimbangkan. Saya rasa ia bukan boleh didedah kepada umum," katanya.