SETIU: Seorang murid tahun empat dan pejalan kaki maut selepas terlibat dalam nahas melibatkan tiga buah kereta dan sebuah basikal elektrik.

Kejadian berlaku di Jalan Bukit Putera, Setiu kira-kira jam 7.10 malam pada Khamis.

Insiden itu menyebabkan, Azuka Muhamad, 46, dan pembonceng basikal elektrik, Muhammad Adif Danial Azman, 10, maut selepas mengalami kecederaan parah.

Sepupu Muhammad Adif Danial yang turut menunggang basikal elektrik, Ahmad Syahiran Saiful Razali, 13, cedera parah.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Bukit Putera selepas menyaksikan pertandingan bola sepak berhampiran rumah mereka.

Bagaimanapun sejurus tiba dilokasi kejadian, sebuah kereta jenis Perodua Myvi dipandu lelaki berusia 36 tahun dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum terlanggar basikal elektrik yang dinaiki mangsa.

Perodua Myvi terbabit turut melanggar sebuah Proton Wira yang diparkir di bahu jalan sehingga menyebabkan kenderaan itu menggelongsor dan melanggar seorang pejalan kaki.

Kejadian itu menyebabkan pejalan kaki terpelanting ke atas sebuah kereta jenis Proton Persona yang parkir di bahu jalan.

Bapa Muhammad Adif, Azman Awang@Setapa berkata, ketika kejadian dia berada di rumah yang tidak jauh dari lokasi kejadian dan terkejut apabila terdengar bunyi dentuman yang kuat.

Azman berkata dia segera pergi ke lokasi kejadian dan terduduk apabila melihat mangsa kemalangan itu adalah anak dan anak saudaranya sendiri.

"Rumah saya dengan padang bola itu tidak jauh sangat, jadi selepas saya dengar bunyi kuat, saya pergi tengok. Terkejut saya melihat anak saya jadi gi dekat tengok anak saya dan seorang lagi yang tercampak jauh sikit, sepupu dia tu," katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Affandi Hussin ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Katanya mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk tindakan lanjut.