Musa Aman 'arkitek' pembangunan Sabah

Bernama
April 18, 2018 04:33 MYT
Tan Sri Musa Aman ketika mengumumkan pembubaran Sidang Dewan Undangan Negeri Sabah pada 6 April lalu. - BERNAMA
Dari Kuala Penyu di Pantai Barat hinggalah ke Tawau di Pantai Timur, tidak boleh dinafikan arus kemajuan ekonomi dapat dirasai di seluruh Sabah, menjadikannya antara negeri termaju di Malaysia.
Sektor pelancongannya sememangnya wajar diberi penarafan "A" dengan kebanjiran pelancong yang cukup ketara di pelbagai destinasi pelancongan di seluruh negeri itu.
Kemajuan yang dinikmati di Sabah kini adalah hasil perancangan program Tan Sri Musa Aman sejak dilantik menjadi Ketua Menteri pada Mac 2003.
Musa bijak menyusun agenda pembangunan ekonomi Negeri di Bawah Bayu ini dengan merangka Agenda Hala Tuju Pembangunan dan Kemajuan Negeri Sabah (Halatuju) dengan menumpukan kepada pengurusan ekonomi yang cekap dan mengurangkan pergantungan kepada hasil sumber asli.
Agenda pembangunan tersebut memberi perhatian kepada program pembelaan rakyat termiskin di luar bandar dan perpaduan kaum melalui perkongsian kuasa sebagai tunjang kestabilan negeri.
Selain itu, Musa juga merupakan perancang pengurusan kewangan negeri Sabah yang mapan sehingga kerap diberi 'rating A' oleh Ketua Audit Negara sekaligus meletakkan kedudukan kewangan Sabah sentiasa stabil.
Ikuti kupasan beliau mengenai kemajuan Sabah semasa temuramah eksklusif dengan Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) Newmond Tibin dan Ketua Biro BERNAMA Sabah Nashir Mansor baru-baru ini.
BERNAMA: Sabah kini sedang giat memacu pertumbuhan menuju negeri maju di bawah pantadbiran Tan Sri. Bagaimana perkembangan semasa usaha ini?
KETUA MENTERI: Kerajaan Sabah komited dalam memastikan kestabilan yang berterusan bukan sahaja dari aspek politik malahan juga dalam ekonomi dan sosial. Kejayaan kita pada hari ini, bukanlah hasil usaha saya seorang. Seperti yang sering saya katakan, bahawa pencapaian kita ini adalah hasil sokongan padu dan kerjasama yang mantap semua pihak termasuklah rakan-rakan dalam Jemaah Menteri, pemimpin-pemimpin parti komponen, penjawat awam, sektor swasta dan rakyat secara keseluruhan.
Penekanan kita adalah untuk memastikan rakyat terus mendapat manfaat daripada program-program pembangunan yang kita laksanakan di kawasan luar bandar, juga dalam sektor pertanian, pelancongan, pembuatan dan pembangunan modal insan. Matlamat kita adalah untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dan memastikan momentum pembangunan terus berjalan dengan lancar. Alhamdullilah setakat ini, usaha-usaha pembangunan kita dapat meningkatkan kesejahteraan rakyat seterusnya merapatkan lagi jurang kehidupan antara bandar dan luar bandar.
BERNAMA: Pelancongan sudah sekian lama menjadi antara tunjang ekonomi Sabah. Adakah Sabah mampu terus bergantung kepada pelancongan atau adakah sektor lain seperti perindustrian mampu menjadi tunjang utama?
KETUA MENTERI: Sabah memang kaya dengan khazanah sumber alam semula jadi terutama gunung, pulau, pantai yang indah dan keunikan budaya dan etnik yang menjadi tarikan pelancong. Hasil usaha berterusan Kerajaan untuk meningkatkan dan mengekalkan lagi tarikan dan keunikan ini, Sabah menjadi destinasi pelancongan terkenal di peringkat antarabangsa.
Apabila sahaja saya menjadi Ketua Menteri, saya telah menekankan atau menggariskan halatuju saya. Saya tekankan sektor yang penting, pertama sektor pelancongan, kedua pertanian, ketiga pembuatan dan pembangunan modal insan. Jelas pada hari ini, nampak perancangan saya itu adalah tepat. Kita sekarang memang jauh sudah maju dalam bidang pelancongan. Dari segi kedatangan pelancong dari luar negara, dahulu berapa saja, kini sudah mencecah 3.4 hingga 3.5 juta orang melawat Sabah dari dalam dan luar negara. Sehingga sekarang ini, kita kekurangan bilik penginapan kerana terlalu ramai orang datang. Jadi kita memerlukan banyak lagi hotel atau homestay harus dibuka untuk menampung pelancong. Saya jangka setiap tahun kedatangan pelancong akan bertambah.
Dengan berkembangnya sektor ini, ia ada kesan spin-off. Pada tahun 2016, kita terima RM7.5 bilion resit daripada pelancongan. Perniagaan restoran dan logistik baik. Begitu juga dengan peniaga kecil-kecilan dan petani turut mendapat manfaat. Ini spin-off yang wujud daripada aktiviti pelancongan yang begitu meningkat naik di Sabah.
Industri kemahiran kreatif di Sabah juga telah menunjukkan potensi yang luas dengan peningkatan dari segi kreatif dan inovasi. Industri ini akan diberikan lebih perhatian dari segi infrastruktur dan kemudahan untuk meningkatkan dan mempelbagaikan lagi aset pelancongan negeri. Sabah mempunyai modal insan yang mempunyai bakat dan kreativiti yang tinggi dalam seni persembahan dan bidang kreatif lain bukan sahaja di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Untuk itu, kerajaan negeri menyediakan platform yang bersesuaian untuk meneroka, menggilap dan meningkatkan lagi kemahiran dan bakat khususnya anak-anak muda kita dalam industri kreatif ini. Antaranya menerusi pembinaan Pusat Kraftangan Sabah dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) yang menjadi platform kondusif untuk menyerlahkan bakat tempatan bukan sahaja di Sabah malahan di peringkat antarabangsa.
BERNAMA: Dengan pelaburan dan perkembangan pesat di Sabah, sejauh mana semua ini mampu memberi pulangan kepada rakyat Sabah?
KETUA MENTERI: Sabah merupakan antara negeri yang berkembang dalam kadar pesat dari segi pelaburan dan pembangunan yang banyak memberi pulangan dan manfaat kepada rakyat. Ia memberikan banyak peluang pekerjaan, kemahiran dan latihan dalam pelbagai sektor di samping merangsang peningkatan pertumbuhan sosioekonomi masyarakat setempat. Selain memastikan usaha pembangunan yang berterusan, kerajaan negeri turut memastikan pembangunan mampan dalam sumber alam semulajadinya. Ini bagi memastikan rakyat khususnya generasi akan datang terus dapat menikmati kekayaan sumber alam semulajadi ini. Selain itu ia turut dapat memperkenalkan negeri Sabah sebagai sebuah negeri yang mampu membangun tanpa memusnahkan sumber semulajadinya dan menjadi contoh kepada negara maju.
Sektor pelancongan sebagai contoh, perniagaan restoran banyak dibuka dan ini menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada anak-anak kita. Hotel juga banyak dibuka termasuk hotel antarabangsa. Ini semua memerlukan pekerja. Jadi anak-anak kita, orang muda, lepasan sekolah harus dihantar berlatih supaya mereka boleh mengisi kekosongan yang ada. Kita juga meminta kepada pemilik hotel atau resort ini supaya memberi keutamaan kepada anak-anak Sabah untuk bekerja di hotel dan resort mereka.
Begitu juga dalam sektor pertanian. Kita bangunkan sektor ini dengan kerjasama pihak berkenaan. Kita banyak wujudkan program pertanian yang boleh memberi peluang pekerjaan yang baik termasuk dalam sektor penternakan, akuakultur dan banyak lagi.
BERNAMA: Mengenai projek infrastruktur Lebuhraya Pan Borneo Sabah. Bagaimana perkembangan projek ini dan manfaatnya kepada rakyat dan pambangunan negeri?
KETUA MENTERI: Lebuhraya Pan Borneo merupakan Akujanji Kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam manifesto pilihan raya umum (PRU) ke-13 di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia, iaitu untuk membina lebuh raya di Sabah dan Sarawak.
Bermula daripada manifesto dan perancangan, disusuli dengan beberapa siri perbincangan dan pemeteraian perjanjian, hari ini Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah telah dilaksanakan mengikut beberapa fasa dan pakej.
Setakat ini projek yang telah dilancarkan pada Mac 2015 ini telah berjalan dengan lancar. Projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah membabitkan 35 pakej kerja bernilai RM12.8 bilion bermula dari Sindumin, Sipitang hingga ke Tawau, dengan tujuh pakej sedang dilaksanakan ketika ini bermula April 2016 hingga Disember 2017. Setakat Mac 2018, lima daripada pakej itu pada peringkat kerja tanah untuk membina jajaran jalan raya dan jambatan manakala dua lagi dalam proses memasuki tapak.
Ia bukan sekadar membina dan menaik taraf jalan raya kepada lebuh raya semata-mata. Hakikatnya, projek ini adalah pemangkin kemajuan ekonomi negeri Sabah. Projek ini akan membantu merancakkan agenda pembangunan negeri seperti mana yang telah digariskan melalui Agenda Hala Tuju Negeri Sabah dan Pembangunan Koridor Sabah yang sedang giat dilaksanakan.
Selain memantapkan jaringan perhubungan darat di negeri ini yang akan mempermudahkan mobiliti rakyat, Pan Borneo juga akan merangsang dan melonjakkan aktiviti ekonomi yang lain. Antaranya memudahkan pemasaran hasil produk pertanian rakyat, menggalakkan pembangunan produk pelancongan, merangsang pembangunan dan petumbuhan kawasan-kawasan ekonomi seperti perumahan dan komersial dengan adanya akses perhubungan darat yang cekap, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan kemahiran serta pengalaman kepada anak tempatan.
Apa yang penting adalah jaminan oleh Kerajaan BN bahawa lebuh raya ini nanti adalah bebas tol. Maknanya rakyat tidak akan dikenakan tol apabila menggunakan lebuh raya itu nanti.Sekali lagi kita merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas keprihatinan Y.A.B PM kepada pembangunan negeri dan keperluan rakyat dengan pelaksanaan projek lebuh raya ini, sekaligus merangsang dan memacu pertumbuhan ekonomi negeri dengan lebih pantas dan menyeluruh.
BERNAMA: Bagi projek Mini Estet Sejahtera (MESEJ), sejauh manakah projek ini dapat membantu dalam kelangsungan hidup golongan sasaran?
KETUA MENTERI: Kerajaan negeri sentiasa komited membangunkan kawasan yang dikenal pasti sebagai lubuk kemiskinan bagi memastikan rakyat di kawasan itu mendapat pembelaan. Kadar kemiskinan semasa menunjukkan penurunan yang sangat ketara daripada 19.2 peratus pada tahun 2009 kepada 2.9 peratus pada 2016. Program MESEJ adalah satu daripada program yang diperkenalkan untuk membasmi kemiskinan. Dalam program ini, rakyat miskin dilibatkan dalam aktiviti ekonomi yang dapat menjana pendapatan. Umpamanya melalui penanaman kelapa sawit secara berkumpulan. Terbukti program ini telah berjaya menyumbang peningkatan pendapatan rakyat miskin dan mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan. Selain MESEJ, antara program membasmi kemiskinan yang diperkenalkan oleh kerajaan ialah Program Kampung Sejahtera (PKS) dan Ladang PPRT untuk menjana pendapatan bagi rakyat miskin khususnya kawasan luar bandar.
BERNAMA: Bagaimanakah strategi BN Sabah dalam mendepani cabaran daripada gabungan parti-parti pembangkang tempatan?
KETUA MENTERI: Sering saya tekankan kepada semua pemimpin dan jentera BN khususnya supaya tidak mengambil mudah atau cepat berasa selesa, jangan bersikap sambil lewa. Sebaliknya terus melipatgandakan lagi usaha dan kerja kita membantu rakyat dan memberikan penjelasan mengenai apa yang telah kita lakukan selama ini serta memastikan jentera kita dalam keadaan yang lancar dan tersusun di semua peringkat.
Dari segi strategi, sebenarnya kita tidak ada strategi tertentu kerana bagi kita selama ini, 'strategi' kita adalah turun padang dan membantu rakyat pada setiap masa dan musim, tanpa perlu menunggu pilihan raya. Kita ada rekod dan fakta kejayaan dan pencapaian kita berbanding parti-parti pembangkang yang menaburkan janji bersifat populis dan tidak realistik kepada rakyat.
Insya-Allah, dengan adanya kerjasama semua pihak, UMNO dan komponen BN, kita bersatu, saya percaya kita akan beroleh kejayaan besar. Kerana rakyat tahu kita mempunyai rekod pencapaian yang baik, kita bekerja, kita turun padang dan kita mengetahui masalah rakyat dan membantu menyelesaikannya.
BERNAMA: Di sebalik semua kejayaan yang diperoleh dan dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional di Sabah, sejauh mana peluang BN mempertahankan kerusi dimenangi dan merampas kerusi Pembangkang pada PRU14?
KETUA MENTERI: Berdasarkan pencapaian dan kejayaan kita dalam memacu pembangunan negeri, ia jelas membuktikan bahawa kita telah menunaikan tanggungjawab dan mandat rakyat. Kita telah bekerja dan turun padang ke seluruh negeri sejak dari awal lagi iaitu sejak kita membentuk kerajaan dalam pilihan raya lalu. Kita bukanlah parti dan pemimpin yang bermusim iaitu bekerja hanya apabila menjelang pilihan raya. Kita bekerja, menyantuni rakyat di seluruh negeri iaitu sebelum, semasa dan selepas pilihan raya.
Dengan kestabilan politik, pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran sosial yang kita kecapi selama ini di bawah kerajaan BN, saya percaya rakyat Sabah akan membuat pilihan yang bijak dan terbaik untuk meneruskan kesinambungan pembangunan dan kemajuan ini.
Bagi saya, orang Sabah adalah orang yang bijak. Mereka pandai menilai mana yang baik dan mana buruk. Oleh itu, jangan tersilap, jangan tersalah langkah, jangan tersilap pilih kerana ini boleh mengundang perkara-perkara yang tidak diingini berlaku. Jadi sokong BN, undi calon BN kerana kita ada rekod pencapaian rekod yang baik. -- Bernama
#MalaysiaMemilih #Musa Aman #pembangunan Sabah