Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Tan Sri Musa Aman hari ini memfailkan saman baharu terhadap Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Musa memfailkan saman baharu susulan Mahkamah sebelum ini yang telah menarik balik writ saman yang difailkan pada 17 Mei lepas terhadap kedua-dua defendan.

Writ saman baharu tersebut difailkan menerusi firma guaman Messrs FT Ahmad & Co yang mewakili Musa.

Dalam saman terbaharunya ini, Musa juga memohon agar pengisyitiharan Mahkamah bahawa beliau masih lagi Ketua Menteri yang sah dan mengikut perlembagaan.

Terdahulu, Mohd Shafie dalam satu kenyataan yang dikeluarkan memohon untuk membatalkan tuntutan writ saman Musa terhadapnya yang disifatkan tidak berasas untuk mencabar pelantikan beliau sebagai Ketua Menteri.

Sebutan semula kes baharu ini akan didengar di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, pada 9 Julai depan.

Kehilangan bekas ketua menteri Sabah itu masih berlarutan sehingga hari ini, meskipun Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataannya sebelum ini berkata, ADUN Sungai Sibuga itu akan ditangkap selepas beberapa proses melibatkan pihak keselamatan luar negara selesai.

Musa kini diperlukan pihak berkuasa berhubung laporan polis yang dibuat Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin berkaitan dakwaan ugutan jenayah baru-baru ini.