TUMPAT: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sedang merangka langkah penyediaan bekalan ikan yang mencukupi susulan ramalan hujan berterusan mulai pertengahan November ini, yang dijangka membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) LKIM, Kusuadi Sallih berkata, LKIM sedang merangka sebuah jawatankuasa penyediaan bencana alam bagi menyimpan stok bekalan makanan supaya dapat dibekalkan secara berterusan.

"Bekalan kita belum menetapkan negeri-negeri. Sebab kita pun baru dapat maklumat dari segi masalah cuaca daripada MET, jadi kita akan menunggu penekanan-penekanan kawasan yang akan dibekalkan, kawasan-kawasan yang kena bencana banjir yang dijangka kesan yang tinggi, kita akan utamakan kawasan-kawasan berkenaan," katanya.

Kusuadi hadir pada Program Jualan Murah 2022 Keluarga Malaysia DUN Pasir Pekan yang dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob di Kampung Paloh, di sini hari ini.

LKIM juga katanya akan menyediakan pusat pengumpulan untuk menyimpan stok bekalan ikan di beberapa negeri bagi memastikan bekalan ikan mencukupi dengan harga yang stabil.

Menurut Kusuadi lagi, bekalan ikan sejuk beku atau quick freezing juga akan diagihkan ke beberapa kawasan yang dijangka mengalami masalah banjir di seluruh negara sebagai persediaan awal menghadapi bencana berkenaan.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan, negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini, yang membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan.

Cuaca yang dialami dijangka memberi impak lebih signifikan kerana Monsun Timur Laut yang aktif pada tempoh itu, dimana risiko berlaku hujan lebat berterusan dan banjir berskala besar adalah tinggi.