Mustahil undi tidak percaya terhadap PM - Penganalisis

Sinar Harian
November 20, 2019 03:32 MYT
Sivamurugan (kiri) dan Awang Azman mengulas pertemuan Ahli Parlimen BN dengan Mohamed Azmin di Putrajaya yang didakwa ada kaitan dengan usaha mengadakan undi tidak percaya terhadap Dr Mahathir.
Cadangan untuk melakukan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad adalah mustahil.
Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, proses berkenaan bukan mudah kerana ia memberi kesan kepada politik negara.
“Proses undi tidak percaya tidak semudah itu dan saya percaya Yang Dipertua Dewan Rakyat juga arif mengenai kesannya.
“Undi tidak percaya perlu dibawa seseorang namun dalam isu ini siapa yang mahu melakukannya? Jika dibawa sekalipun, ia tidak akan berlaku dengan mudah. Ada proses yang panjang dan perdebatan serta diakhiri dengan undian.
“Yang di-Pertuan Agong perlu memberi perkenan sekiranya ia berlaku dan beberapa langkah perlu diambil untuk memastikan ia berlaku secara tersusun, licin dan lancar,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Beliau berkata demikian merujuk kepada pertemuan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Putrajaya malam kelmarin yang ada kaitan dengan usaha untuk melakukan undi tidak percaya kepada Dr Mahathir supaya peralihan kuasa Perdana Menteri diserahkan kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sementara itu, Sivamurugan berkata, isu pertukaran pemimpin tidak semestinya melalui undi tidak percaya.
“Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) juga boleh membuat ketetapan atau satu tempoh masa transasi diberikan sebagaimana dari Tun Mahathir kepada Tun Abdullah Ahamd Badawi sebelum ini," katanya.
Sementara itu, penganalisis politik daripada Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi pula berpendapat tiada keperluan untuk melakukan undi tidak percaya atau pembubaran Parlimen seperti diminta pembangkang.
“Sekarang tidak timbul usaha undi tidak percaya atau bubarkan Parlimen sebab tiada keperluan yang khusus. Cara terbaik ialah melalui peralihan kuasa secara terhormat dan mengikut pelan peralihan sedia ada.
“UMNO tidak perlu campur tangan dalam rumah tangga PH sebaliknya fokus kepada parti, bermuhasabah dan menggunakan peluang diberikan rakyat sebaik-baiknya,” katanya.
#Anwar Ibrahim #Awang Azman Awang Pawi #Azmin Ali #Barisan Nasional #bubar parlimen #Dewan Rakyat #Mahathir Mohamad #Pakatan Harapan #pembangkang #peralihan kuasa #pertukaran pemimpin #PKR #Sivamurugan Pandian #UMNO #undi tidak percaya #Yang di-Pertuan Agong