DUBAI: Madame Tussauds yang terkenal di London kini membuka cawangan pertama di negara Arab sempena perasmian muzium patung lilin itu di Dubai.

Perkembangan itu, lapor AFP, diharapkan dapat menarik jutaan pelancong untuk mengunjungi Expo 2020.

Jenama berkenaan bermula di kota London, yang memiliki sejumlah 250 patung lilin personaliti dan tokoh ternama dunia, juga mempunyai beberapa cawangan kecil di Amerika Syarikat, Eropah dan Asia.

"Kami telah membuka pintu pada 14 Oktober tahun ini, seiring dengan pelancaran Expo 2020. Kami menjangkakan ramai pengunjung dri dalam dan luar negara akan melawatinya," ujar Pengurus Besar Madame Tussauds Dubai, Sanaz Kollsrud.

Tambahnya, pihak pengurusan telah membuat pemilihan tentang personaliti yang relevan dan popular di rantau itu.

Cawangan di Dubai itu mempamerkan 60 patung lilin 'bintang-bintang global', termasuk sensasi bola sepak Lionel Messi dan penyanyi pop Rihanna.

Selain itu, terdapat juga 15 personaliti yang mesra pengunjung serantau, seperti bintang pop Lubnan Nancy Ajram dan Maya Diab.

Dengan rizab minyak yang terhad, Dubai kini menumpukan pada pembangunan sektor pelancongan dan hiburan.

Dubai kini berharap pada kejayaan Expo 2020 Dubai yang berlangsung selama enam bulan bermula 1 Oktober lalu, untuk melonjakkan kembali jumlah kedatangan pelancong, selepas setahun kempen itu ditangguhkan akibat pandemik COVID-19.