Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, apa yang dilakukan kerajaan Myanmar itu merupakan pembunuhan beramai-ramai (genocide) secara terbuka.
"Apa yang berlaku kepada orang-orang Rohingya amat teruk dan tidak boleh digambarkan... anda hanya boleh tahu jika melihat foto-foto (kekejaman yang berlaku).
"Kita tidak boleh menerima pembunuhan beramai-ramai ini, dan jika Myanmar tetap ingin melakukannya mereka seharusnya meninggalkan ASEAN," tegas Dr Mahathir pada ucaptama persidangan antarabangsa 'Plight of the Rohingya' yang dilangsungkan di Muzium Kesenian Islam di sini hari ini.
Beliau berkata, tindakan Myanmar itu jelas melanggar hak asasi manusia dan tidak boleh diterima sama sekali.
Dr Mahathir (dua, kanan) ketika di persidangan antarabangsa 'Plight of the Rohingya' di Muzium Kesenian Islam padi tadi. - fotoBERNAMA
Dr Mahathir, merangkap Presiden Yayasan Keamanan Sedunia Perdana (PGPF), juga menggesa ASEAN supaya mengambil tindakan terhadap Myanmar atas kekejaman yang dilakukan kepada kaum Rohingya.
Katanya, sudah tiba masanya negara-negara ASEAN mengenepikan dasar untuk tidak campur tangan hal dalaman negara lain terutama sekali jika ia melibatkan pembunuhan seperti ini.
"ASEAN seharusnya memberitahu Myanmar supaya menghentikan kekejaman tersebut dan mengambil tindakan sekiranya negara itu enggan berbuat demikian."
Dr Mahathir memaklumkan telah mengutus surat kepada ketua pembangkang Myanmar, Aun San Suu Kyi tentang isu berkenaan.
Bagaimanapun katanya, surat tersebut tidak dijawab namun beliau juga menyatakan ada kemungkinan bahawa Suu Kyi tidak menerima surat itu.
Tambah Dr Mahathir, perbuatan Myanmar serta kegagalan dalam menyelesaikan isu kekejaman ini juga boleh memberikan nama buruk kepada ASEAN.
Jelasnya, tindakan komuniti Rohingya yang melarikan diri menaiki bot ke negara lain adalah akibat dari kekejaman kerajaan Myanmar itu sendiri.