SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan merekodkan kutipan hasil sebanyak RM9.3 juta menerusi 3,706 hektar kawasan hutan simpanan kekal yang dilesenkan dari 2019 hingga 2021, demikian persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dimaklumkan.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata daripada jumlah hasil itu, sebanyak RM4.2 juta direkodkan pada 2019 membabitkan keluasan 1,384 hektar, RM2.8 juta bagi 2020 dengan keluasan 1,124 hektar dan RM2.3 juta pada 2021 dengan keluasan 1,198 hektar.

"Pelesenan hutan simpan tersebut merangkumi beberapa lokasi termasuk Hutan Simpan Triang, Hutan Simpan Kenaboi, Hutan Simpan Lenggeng dan Hutan Simpan Pasoh.

"Keluasan hutan simpan kekal di negeri ini adalah 155,143 hektar melitupi 23 peratus daripada keluasan tanah negeri dan daripada keluasan tersebut, 94,973 hektar (61 peratus) dikelaskan sebagai Hutan Pengeluaran manakala 60,169 hektar (38 peratus) merupakan Hutan Perlindungan," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Serting) yang ingin tahu kawasan yang diluluskan pembalakan di Negeri Sembilan dari 2019 hingga 2021.

Dalam pada itu, Aminuddin yang juga ADUN Sikamat berkata keluasan pengusahasilan hutan dalam kawasan hutan simpanan kekal dikawal melalui penentuan Catuan Tebangan Tahunan (CTT) dengan CTT Negeri Sembilan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 adalah seluas 2,000 hektar setahun.

-- BERNAMA