PUTRAJAYA: Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 perlu diberi ruang untuk dinilai semula agar dapat memberi penekanan kepada inisiatif berimpak tinggi, kata Pengarah Dasar, Perancangan dan Penyelidikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Mohd Hafaz Nazar.

Beliau berkata ia boleh membawa perubahan ketara dan pantas kepada tahap tata kelola, ketelusan, integriti dan kebertanggungjawaban, yang boleh menyokong dengan jitu usaha berterusan memerangi rasuah serta salah guna kuasa.

"Secara tidak langsung, ini menyokong komitmen kerajaan dalam mendepani isu rakyat khususnya usaha memulih, menstabil dan memperkasakan ekonomi negara," katanya dalam kenyataan hari ini, sebagai susulan kepada pengumuman Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2022 oleh Transparency International (TI) semalam, yang menyaksikan Malaysia berada pada kedudukan 61 daripada 180 negara berbanding tangga 62 pada 2021.

Kedudukan skor Malaysia dalam CPI 2022 pula berganjak satu mata daripada 48 mata pada tahun 2021 kepada 47 mata pada tahun 2022.

Beliau berkata ada dua faktor utama yang menyumbang kepada skor lemah berkenaan iaitu kurangnya kesungguhan dalam iltizam politik bagi memerangi rasuah berdasarkan kepada pelaksanaan NACP yang perlahan dan kegagalan tata kelola berulang kali biarpun pendedahan berterusan dibuat oleh Ketua Audit Negara.

Katanya faktor kedua pula melibatkan kelewatan reformasi institusi dalam aspek pembangunan Rang Undang-Undang (RUU) Pembiayaan Politik, RUU Perolehan Kerajaan, pindaan kepada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, RUU Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) serta kurangnya kemahuan politik untuk memperkasakan SPRM sebagai institusi antirasuah yang bebas dan berkesan.

Mohd Hafaz berkata TI-Malaysia ketika pengumuman CPI 2022 turut menyentuh tentang kekurangan ketelusan maklumat dalam hal kepentingan awam seperti projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) berjumlah RM9 bilion oleh Kementerian Pertahanan, serta persepsi seolah-olah tiada tindakan undang-undang terhadap penjawat awam yang menyalahgunakan kuasa.

"SPRM ingin menekankan bahawa sepanjang tahun 2022, tindakan telah diambil terhadap kes-kes besar yang berkepentingan awam seperti kes LCS. Disebabkan siasatan masih dijalankan yang melibatkan negara asing, maklumat siasatan tidak boleh didedahkan kerana ia akan menjejaskan siasatan.

"Kekurangan ketelusan maklumat ini mungkin menimbulkan persepsi negatif terhadap siasatan SPRM dan komitmen kerajaan seolah-olah tiada tindakan dijalankan," katanya.

Selain itu, beliau berkata dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), kerajaan turut menerima CPI sebagai asas pengukuran tata kelola baik sesebuah negara dan telah menetapkan sasaran penambahbaikan kedudukan Malaysia dalam CPI 2025.

Katanya jika sasaran itu dijadikan petunjuk prestasi utama (KPI) di semua peringkat kementerian, jabatan dan agensi secara `shared responsibility', Malaysia boleh mencapai kedudukan CPI yang jauh lebih baik," katanya.

-- BERNAMA