KOTA BHARU: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat akan diadakan bagi membincangkan kemungkinan Agensi Pengurusan Bencana Negara atau NADMA perlu distruktur semula.

Penstrukturan semula itu antara lain bagi membolehkan punca kuasa ditambah di peringkat negeri dan daerah.

“Kita akan mengkaji secara menyeluruh tentang soal banjir ini. Seperti saya umumkan di dalam Parlimen bahawa Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat yang saya pengerusikan akan memanggil mesyuarat dengan segera.

“Isu banjir ni tak pernah dapat diselesaikan. Setiap tahun hampir semua tempat di Pantai Timur banjir, jadi tidak pernah ada secara penyelesaian secara keseluruhan.

“Kita seperti buat saja. Ad Hoc tindakan dia daripada dulu dan kalau ini berlaku kalau tidak diselesaikan, kerajaan akan kerugian jangka panjang,” katanya.

Tambah beliau, pada masa ini NADMA hanya sebagai agensi penyelaras di peringkat Pusat, sebaliknya di peringkat Negeri terdapat jawatankuasa pengurusan bencana negeri dan daerah.

Jelasnya antara lain, mesyuarat berkenaan akan membincangkan penyelesaian banjir untuk. jangka masa panjang bagi mengelakkan kerajaan menanggung kerugian lebih besar.

Untuk tahun ini sahaja, Menteri Kewangan memaklumkan kerajaan perlu mengeluarkan peruntukan RM6 bilion untuk bantuan dan kerosakan akibat banjir.