PERMATANG PAUH: Suasana pilu menyelubungi pengebumian empat beranak yang terkorban dalam nahas tujuh kenderaan di Kilometer (KM) 277.1 Lebuhraya Utara-Selatan, dekat Ipoh, Perak, pada Rabu.

Jenazah pesara polis, Koperal Rahim Ramli, 60 tahun, dan isteri, Siti Petimah Omar, 59 tahun, serta dua anak mereka iaitu Nor Hadirah, 28 tahun, dan Nor Hamizah, 27 tahun, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad.

Jasad mereka disemadikan di Tanah Perkuburan Masjid Jamek Permatang Pasir, Pulau Pinang, kira-kira jam 3.15 pagi ini.

Terdahulu, jenazah dibawa menaiki van yang berlepas dari Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh kira-kira jam 11.30 malam.

Jenazah tiba di masjid berkenaan pada jam 1.20 pagi dan disolatkan sebelum dikebumikan.

BACA: 4 sekeluarga maut dalam perjalanan hantar anak baru dapat kerja 

Foto Astro AWANI


Dalam kejadian jam sekitar 3 petang Rabu, empat sekeluarga yang menaiki kereta Proton Persona maut akibat tersepit selepas terbabit nahas membabitkan enam kereta dan sebuah treler.

Ketika kejadian, mereka dalam perjalanan dari Sungai Petani, Kedah menuju ke Kuala Lumpur untuk menghantar Nor Hadirah yang baru mendapat kerja di ibu negara.