Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor memfailkan saman terhadap Anggota Parlimen Taiping Nga Kor Ming atas dakwaan memuat naik gambar berunsur fitnah mengenai mereka berdua dalam akaun Facebook Nga pada Mac lepas.

Najib, atas kapasiti peribadi memfailkan saman fitnah itu bersama isterinya menerusi Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi pada 11 Jun lepas.

Media memperoleh writ saman itu pada Isnin dan pengurusan kes berkenaan ditetapkan pada 10 Julai di hadapan Timbalan Pendaftar Anisah Normah Muhammad Nor.

Dalam pernyataan tuntutan itu, Najib dan Rosmah selaku plaintif mendakwa Nga selaku defendan telah memuat naik gambar Najib dan Rosmah berserta status dalam akaun Facebook atas nama Nga Kor Ming, pada 29 Mac lepas.

Pasangan itu mendakwa dalam status bergambar itu terpampang gambar mereka bersama dengan beberapa orang Menteri Kabinet Malaysia dan pegawai tertinggi Wisma Putra di dalam sebuah bilik hotel di China.

Kedua-dua plaintif mendakwa Nga telah menerbitkan perkataan-perkataan fitnah dalam akaun Facebooknya dengan memuat naik status menfitnah yang boleh diakses secara bebas oleh pengguna internet di seluruh dunia.

Najib mendakwa perkataan-perkataan fitnah itu antara lain membawa maksud bahawa beliau telah menyalahguna kuasa dan mandat sebagai Perdana Menteri untuk kepentingan sendiri atau kepentingan isterinya dengan membenarkan Rosmah mencampuri urusan dan hal ehwal kerajaan.

Rosmah pula mendakwa perkataan-perkataan fitnah itu membawa maksud bahawa beliau adalah seorang yang mementingkan diri sendiri kerana mempengaruhi suaminya selaku Perdana Menteri dan telah menyalahguna kuasa selain mempunyai kepentingan dalam sistem pentadbiran negara.

Kedua-dua plaintif mendakwa defendan tidak mengambil sebarang langkah untuk menghubungi mereka bagi mengesahkan kebenaran mengenai perkataan-perkataan fitnah itu sebelum ia diterbitkan.

Kata mereka, satu notis tuntutan bertarikh 10 April lepas telah dihantar kepada Nga, antaranya menuntut supaya beliau mengeluarkan permohonan maaf secara bertulis untuk menarik balik perkataan-perkataan fitnah tersebut tetapi Nga dalam surat balasan bertarikh 24 April menafikan telah memfitnah plaintif.

Kedua-dua plaintif berkata walaupun defendan telah mengambil tindakan untuk membuang status bergambar itu, namun status bergambar itu masih tersebar dengan meluas di dua buah blog yang masih boleh diakses di seluruh dunia dan mempunyai 'page view', masing-masing seramai 25,360,055 dan 6,626,986 sehingga tarikh writ saman tersebut difailkan.

Oleh itu, kedua-dua plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi tambahan dan teladan, faedah, kos dan lain-lain perintah yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Turut dituntut satu perintah injunksi untuk menahan defendan atau pembantunya atau ejennya daripada menerbitkan semula perkataan-perkataan berunsur fitnah itu dan memohon supaya defendan mengemukakan permohonan maaf secara bertulis yang diterbitkan di surat khabar dan majalah.