Parti terbesar orang Melayu, UMNO, akan memulakan Perhimpunan Agung ke-68 mereka hari ini di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Selepas ketiga sayap mereka, Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri selesai mengadakan perhimpunan semalam, maka hari ini perwakilan UMNO dari seluruh negara akan mula membahaskan berapa usul yang melibatkan kepentingan orang Melayu dan rakyat Malaysia.

Tumpuan sentiasa diberikan setiap kali UMNO mengadakan persidangan kerana selaku parti tunjang Barisan Nasional (BN) yang menjadi pemerintah, tentunya apa yang dibincangkan dalam perhimpunan parti ini menjadi penting.

Kerana itu, pagi ini, seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa akan mengikuti ucapan dasar Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Presiden UMNO.

Apa yang diucapkan oleh Najib akan dibahaskan oleh perwakilan UMNO dan ia juga merupakan pendirian UMNO dalam beberapa perkara yang menjadi tumpuan seluruh rakyat.

Selepas menyampaikan taklimat presiden pada Selasa lepas, ramai pemerhati politik yang menjangkakan Najib akan memberi penekanan terhadap proses peremajaan dalam UMNO yang ketika ini masih lagi jauh daripada mencapai tahap diharapkan.

Najib dikatakan mahu masalah peremajaan dalam UMNO diatasi dengan segera seandainya semua pihak dalam parti mahu terus melihat UMNO berkuasa sebagai parti tonggak orang Melayu.

Proses peremajaan yang dimahukan Presiden UMNO tidak hanya tertumpu kepada penampilan muka baharu tetapi turut merangkumi soal pendaftaran ahli parti bagi menggalakkan lebih ramai golongan muda dan profesional menyertai parti itu.

Ketika memberikan taklimat dua hari lalu, Najib mengarahkan supaya pendaftaran secara online untuk ahli-ahli baru dikuatkuasakan secepat mungkin dan ianya tidak perlu melalui bahagian sepertimana sekarang.

Transformasi yang dimahukan oleh Presiden UMNO kerana kaedah lama sudah tidak lagi sesuai di zaman ini dan disebabkan beliau ingin melihat lebih ramai golongan muda dan profesional menyertai parti itu.

Najib tidak mahu kerenah birokrasi wujud dalam UMNO kerana perkara tersebut sebenarnya penghalang kepada pertambahan ahli parti itu.

Selain isu peremajaan UMNO, pemerhati politik juga menjangkakan Presiden UMNO dalam ucapan dasarnya akan menyentuh isu ketidaksamaan dan agenda bumiputera.

Isu ketidaksamaan ini disentuh oleh Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapan perasmian persidangan sayap-sayap parti itu pada Selasa malam dan ia disambut oleh Ketua Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri ketika menyampaikan ucapan dasar masing-masing.

Najib tentunya sedar bahawa isu ketidaksamaan ini amat penting untuk disentuh dalam ucapan dasarnya memandangkan ia turut dibangkitkan oleh ketua sayap-sayap UMNO.

Presiden UMNO itu juga dijangka akan memberi keutamaan terhadap agenda bumiputera yang kekal menjadi teras dalam pelaksanaan dasar kerajaan.

Najib dijangka akan memberi penegasan dalam hal agenda bumiputera dalam melaksanakan dasar kerajaan kerana dengan cara itu ia dapat mengurangkan ketidaksamaan yang menjadi kebimbangan orang Melayu khususnya golongan muda.