KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak dijanjikan sumbangan tunai tambahan AS$1.17 bilion daripada seorang individu yang didakwa sebagai ahli keluarga diraja Arab Saudi bagi menghargai usaha bekas Perdana Menteri itu memperkenalkan Islam ke seluruh dunia.

Berdasarkan dua pucuk surat yang dibacakan di mahkamah oleh peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed, wang tunai itu dijanjikan untuk dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi Najib oleh putera Arab Saudi, Saud Abdulaziz Majid Al Saud melalui dua transaksi, AS$375 juta pada 1 Nov 2011 dan AS$800 juta pada 1 Mac 2013.

Pada minggu lepas, pasukan pembelaan Najib mengemukakan sepucuk surat yang dikatakan daripada putera Arab Saudi yang sama bertarikh 1 Feb 2011, yang didakwa menjanjikan sumbangan wang tunai AS$100 juta kepada Najib untuk mengiktiraf sumbangannya kepada dunia Islam.

Surat menggunakan kepala surat Pejabat Peribadi Saud Abdulaziz Majid Al Saud, bekas Gabenor Wilayah Madinah, turut menyebut hadiah itu adalah sempena persahabatan yang terjalin antara kedua-duanya dan sebagai menghargai idea-idea baharu Najib selaku pemimpin Islam moden.

Wan Aizuddin merujuk surat itu kepada saksi pendakwaan ke-38 semasa pemeriksaan balas terhadap Ketua Pasaran Modal Perbankan Persendirian AmBank Yap Wai Keat, 57, pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram Najib membabitkan RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Surat-surat itu juga menyebut pemberian wang tunai itu hendaklah dimasukkan ke akaun Datuk Seri Najib melalui akaun bank peribadi atau melalui akaun bank syarikat yang diarahkan putera itu, Tanore Finance Corporation dan Blackstone Asia Real Estate Partners Limited.

“Turut dinyatakan dalam surat itu bahawa Datuk Seri Najib mempunyai budi bicara mutlak untuk menentukan bagaimana wang itu akan digunakan dan ia (wang) tidak sepatutnya ditafsirkan sebagai perbuatan rasuah kerana ini bertentangan dengan amalan Islam dan putera itu secara peribadi tidak menggalakkan amalan sedemikian (rasuah) dalam apa cara sekalipun,” kata peguam itu.

Sebelum ini dilaporkan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat telah mengenal pasti Tanore Finance Corporation dan Blackstone Asia Real Estate Partners Limited dikuasai oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho (Jho Low) menggunakan identiti rakan sekutunya Eric Tan Kim Loong.

Wan Aizuddin kemudian menyoal saksi sama ada beliau mempunyai pengetahuan mengenai dua pucuk surat itu sebelum perbicaraan 1MDB ini, yang dijawab oleh saksi itu secara positif.

“Saya rasa mungkin (mempunyai pengetahuan tentang surat-surat itu) kerana untuk meneruskan pengiriman wang, kita perlu tahu apakah kod tujuan wang ini, di mana pengurus perhubungan akaun AmBank Datuk Seri (Joanna Yu) telah memberitahu saya bahawa ia adalah hadiah dan ada surat yang disertakan bersamanya.

“Bagaimanapun saya tidak dapat mengesahkan sama ada terdapat kemungkinan Joanna Yu telah memberikan surat itu kepada saya pada masa transaksi tersebut. Beliau mungkin tunjuk kepada saya, tetapi saya tidak ingat kerana banyak dokumen yang telah saya teliti sejak beberapa tahun lepas,” kata saksi itu yang mengendalikan deposit pertukaran asing AmBank sejak 2010 hingga 2014.

Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung petang ini. - Bernama