KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, beliau tidak pernah campur tangan dalam prosiding mahkamah melibatkan kes Datuk Seri Najib Tun Razak yang didapati bersalah menyeleweng dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Bekas Perdana Menteri itu mengakui meluluskan pelantikan hakim ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) kerana ia sebahagian daripada tugasnya sebagai Perdana Menteri ketika itu dan tidak mengubah sebarang cadangan nama yang dikemukakan kepada beliau. 

"Ya saya yang melantik (hakim) kerana saya Perdana Menteri. Saya tidak mempunyai pilihan (kerana) ini nama yang dikemukakan.

"Saya hanya meluluskan dan tidak pernah mengubah (cadangan nama tersebut). Tetapi anda lihat saya tidak mempengaruhi (keputusan) mahkamah," katanya dalam sidang akhbar ketika menghadiri Himpunan Nasional 2022 Parti Berjasa di Dewan Tun Abdul Razak, di sini, hari ini.

BACA: Kes SRC: Mahkamah kekal sabitan dan hukuman, Najib dipenjara 12 tahun, denda RM210 juta

Sebelum ini, wujud desakan agar Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menarik diri daripada mengetuai lima panel hakim bagi pendengaran rayuan akhir kes SRC International.

Antara sebab desakan tersebut adalah mendakwa kemungkinan wujud berat sebelah kerana Tengku Maimun dilantik ketika pentadbiran PH yang dipimpin oleh Dr Mahathir.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, sepanjang tempoh empat tahun kes berlangsung, Najib diberikan peluang untuk mempertahankan diri daripada tuduhan penyelewengan.

Malah, kata Dr Mahathir lagi, tiga mahkamah dengan sembilan hakim yang mengendalikan kes tersebut turut mempunyai pendapat yang sama dalam penghakiman mereka melibatkan kes SRC International.

"Tetapi apa yang beliau (Najib) buat ialah mencabar itu dan ini (hakim atau pendakwa raya), (dan mengatakan) ia sebagai tidak adil.  Apa yang tidak adil? Kata-katanya (penghujahan pembelaan) bertentangan dengan bukti dalam dokumen (yang ada pada pihak mahkamah).

"Sebagai contoh, beliau mengatakan mereka (1MDB) usaha sama dengan PetroSaudi (PetroSaudi International Ltd) (tetapi) mana dokumen, mana (datangnya) duit? Najib kata duit itu daripada Raja Saudi. Tunjukkan bukti kepada kita (mahkamah) tetapi mahkamah mempunyai buku cek dan semua dokumen bertulis," tambah Dr Mahathir lagi.

Bagaimanapun, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu menambah, Najib tidak berjaya membuktikan dokumen-dokumen yang dimiliki oleh mahkamah itu adalah tidak benar.

Pada Selasa lalu,  Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta ke atas Najib yang didapati bersalah pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International.

Ahli Parlimen Pekan itu sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang.