Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak gembira dengan kehadiran ramai pengunjung ke sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri beliau dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor di Taman Tasik Sultan Abu Bakar di Pekan, pada Sabtu.

Najib menerusi Twitternya berkata: "Rumah terbuka ini adalah sebagai tanda penghargaan saya atas sokongan padu daripada rakyat, khususnya rakyat Pekan".

Majlis yang berlangsung mulai pukul 8 pagi dihadiri kira-kira 80,000 tetamu.

Turut berangkat ke majlis itu Sultanah Pahang Sultanah Hajah Kalsom dan hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob.

Sementara itu, menerusi temu bual ringkas bersama TV3 yang disiarkan secara langsung dalam Buletin 1.30, Najib berkata beliau bukan sahaja gembira, malah berpuas hati kerana dapat bersalaman dengan ramai pengunjung.

"Insya-Allah saya akan terus anjurkan rumah terbuka ini kerana ia merupakan acara tahunan yang sangat dinantikan," katanya.