Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini menyeru rakyat Malaysia supaya tidak hanya memberi bantuan kewangan, perubatan dan kecemasan lain, tetapi juga turut membantu merancang masa depan
yang lebih baik untuk Palestin.

"Apa yang patut kita tawarkan juga ialah wawasan untuk masa depan Palestin, selain sumber yang kita miliki, untuk dikongsi di mana perlu.

"Kita juga boleh mengambil iktibar tentang apa yang dibawa oleh persengketaan, kacau-bilau dan peperangan kepada sesebuah negara, sesuatu yang ingin kita elak sepenuhnya," kata Najib dalam prakata buku cenderamata sempena persidangan 'Evolusi Palestin' anjuran Pergerakan Belia Malaysia-Palestin (MPYM) di sini.

Najib, yang juga penaung MYPM, berkata rakyat Malaysia, seperti rakyat di pelbagai negara lain di dunia, sentiasa mengambil berat nasib yang menimpa rakyat Palestin.

Konflik yang berlaku di negara Timur Tengah itu tidak boleh diketepikan begitu saja atau diharapkan akan selesai dengan sendiri, katanya.

"Ia sesuatu yang nyata dan ibarat udara yang kita hirup ketika bernafas, umpama hujan yang membasahi kita, seperti luka di tangan kita serta darah yang mengalir daripadanya. Kita mendengar tangisan mereka, kita turut merasai kesakitan mereka," kata Najib.

Perdana Menteri berkata MPYM merupakan platform yang baik kerana ia mewakili harapan serta impian Malaysia dan Palestin, selain keazaman, idea dan tenaga untuk memupuk serta mengukuhkan hubungan antara satu sama lain.

Katanya golongan muda di Malaysia bernaib baik kerana membesar dalam suasana aman, berbanding anak muda di Palestin yang membesar dalam suasana sengketa.

"Namun demikian, belia, khususnya pada era teknologi serba pantas ini, akan dapat menyelami minda dan apa yang dirasa satu sama lain, dengan cepat.

Najib berkata perkara lebih malang bagi Palestin ialah ia tidak diiktiraf sebagai sebuah negara berdaulat, walupun memperoleh taraf negara pemerhati pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu.

"Sekiranya anda membuat carian secara dalam talian tentang negara di Timur Tengah yang dilanda peperangan, Iraq, Libya, Bahrain, Afghanistan, Pakistan, Syria, Jordan dan Yemen akan muncul, manakala Palestin hanya disebut sebagai "wilayah" sahaja," katanya.