Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan melawat pusat operasi mencari pesawat penerbangan MH370 di Perth Rabu ini untuk melihat sendiri operasi yang digerakkan dari Pangkalan Tentera Udara Pearce, kata Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Pemangku Menteri Pengangkutan itu berkata Perdana Menteri juga mahu merakamkan terima kasih kepada semua petugas yang terlibat dalam operasi yang melibatkan pelbagai negara ini termasuk petugas dari Malaysia.

Dalam pada itu, Hishammuddin memaklumkan beliau akan berleps ke Hawaii malam ini untuk menghadiri mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN yang akan berlangsung bermula Selasa sehingga Khamis.

Sidang itu digelar oleh Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Chuck Hagel.

"Bagi pihak kerajaan Malaysia, saya akan berkongsi dengan rakan sejawat ASEAN dan kerajaan Amerika Syarikat tentang perkembangan terkini berhubung usaha mencari MH370," katanya dalam taklimat kepada media di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Tambah Hishammuddin, beliau juga akan merakamkan penghargaan Malaysia atas bantuan mereka yang tidak ternilai dalam operasi yang dijalankan sejak pesawat itu hilang pada 8 Mac lalu.

Hishammuddin juga akan berbincang tentang kemungkinan menggerakkan aset yang sesuai apabila operasi mencari itu masuk ke fasa yang lebih kompleks.