Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata parti politik yang mempunyai kredibiliti di negara ini adalah parti yang mengamalkan dan melaksanakan apa yang dikatakan.

Najib, yang juga Presiden UUMNO, berkata UMNO adalah parti yang patuh kepada undang-undang termasuk dalam soal pemilihan jawatan dalam parti dan apa yang berlaku dalam perhimpunan agung Umno selama ini tiada bantahan sama sekali.

Katanya ini berbeza dengan DAP yang didakwa tidak membenarkan atau tidak memaklumkan 753 anggotanya mengenai pemilihan jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) parti itu akhir tahun lepas.

"Ini bukan jumlah kecil, ini jumlah yang besar. Yang menjadi satu tanda tanya kenapa sebuah parti seperti DAP yang selalu mewar-warkan mereka juara demokrasi dan prinsip tidak menyalahguna kuasa dan sebagainya, tapi bila sampai pemilihan dalam parti mereka tak sanggup lakukan perkara ikut peraturan, yang bersih daripada salah guna kuasa atau penyelewengan," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Peneroka Kebangsaan, Pelancaran Pelan Integriti Felda dan Majlis Hari Raya di Felda Sungai Tiang di sini.

Pada 30 Julai lepas, Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) memutuskan DAP perlu mengadakan pemilihan semula CECnya selepas badan itu tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh parti berhubung dakwaan penyelewengan pengundian dan manipulasi undi membabitkan 547 perwakilan pada pemilihan yang diadakan 15 Dis lepas.

Semalam, Pengerusi DAP Karpal Singh berkata DAP akan mengadakan pemilihan semula CEC bagi mengelakkan pendaftaran parti itu dibatalkan.

Najib berkata tindakan yang dilakukan oleh ROS adalah semata-mata mengikut peraturan dan bagi Umno, jika parti itu ditegur oleh ROS mereka bersedia untuk memperbetulkannya.

"Malah Umno pernah diharamkan oleh mahkamah. Kita terima dan kita bangunkan semula. Kita cakap sesuatu kena amalkan juga baru ada kredibiliti sebagai sebuah parti politik," katanya.