Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mula "memalu" gendang pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) apabila melancarkan jentera Barisan Nasional (BN) Parlimen Pekan.

Ketika melancarkan majlis yang dihadiri hampir 5,000 orang itu, Najib yang merupakan Pengerusi BN berkata 'gendang perang' telah dipalu dan semua pihak mesti mengatur langkah sebagai pendekar.

"Kita tunggu isyarat, lepas tu kita turun ke medan juang, selagi belum capai kemenangan besar, jangan kita undur walaupun seinci," katanya.

Perdana Menteri berkata semua jentera BN perlu bersiap sepenuhnya untuk menghadapi PRU-13 yang bakal diadakan pada bila-bila masa sekali gus memberikan kemenangan lebih besar berbanding pada pilihan raya umum ke-12.

"Apabila Parlimen dibubarkan nanti, kita pastikan jentera bergerak licin dan lancar, gerak kerja mesti ikut haluan tak kira siapa jadi calon, siapa jadi calon kita akan sokong," katanya.