KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menolak kemungkinan Datuk Seri Najib Tun Razak yang disabitkan dengan kesalahan atas pertuduhan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd akan membuat kemunculan semula sebagai perdana menteri.

Berbeza dengan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau memberitahu, Ahli Parlimen Port Dickson itu dimasukkan ke dalam penjara sebelum beliau disabitkan dengan kesalahan lagi.

"Namun Najib sudah disabitkan dengan kesalahan tetapi dia dilayan seperti individu yang tidak bersalah.

"Dia bebas pergi ke mana sahaja, malah ke luar negara. Banyak yang dilakukan oleh kerajaan sekarang dan lepas, yang mana tidak pernah terjadi sebelum ini.

"Jadi jika kamu tanya sama ada Najib akan membuat kemunculan semula sebagai perdana menteri? Ada kemungkinan, dia mungkin akan mendapat pengampunan Yang di-Pertuan Agong sekali gus membolehkan dia bertanding, dan jika partinya menang, dia mungkin akan dipilih sebagai perdana menteri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena pelancaran buku terbaharunya, Capturing Hope: The Struggle Continues for A New Malaysia di sini, pada Ahad.

Pada Rabu lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Datuk Seri Najib Razak, yang dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana milik syarikat SRC International Sdn Bhd.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, bersama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati Mahkamah Tinggi membuat keputusan yang betul dan tidak terkhilaf apabila mensabitkan Najib terhadap tuduhan berkenaan.

Bagaimanapun mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sehingga rayuan Perdana Menteri ke-6 di Mahkamah Persekutuan selesai. 

Politik | Tun M akui bergabung dengan pembangkang jatuhkan Najib


Dalam pada itu, Dr Mahathir mengakui beliau bergabung dengan pembangkang untuk menggulingkan Najib.

Katanya, sekiranya menentang berseorangan, ia tidak akan mendatangkan hasil memandangkan Najib terlalu berpengaruh dan berkuasa.

"Bila Najib melakukan kesalahan, saya sudah cuba menasihatinya namun saya gagal, saya juga cuba memberi tekanan, cuba mendapatkan orang ramai untuk menolak kepimpinan beliau, itu pun saya gagal.

"Jadi saya mengambil keputusan untuk menubuhkan parti untuk menentang Najib. Namun demikian, berdiri sebagai parti tunggal mungkin tidak akan mendatangkan hasil, maka saya mengambil keputusan untuk bergabung dengan pembangkang.

"Ini tidak bermakna saya bersetuju dengan apa yang mereka (pembangkang) lakukan. Tetapi fokus kami bersama adalah untuk menggulingkan Najib," ujarnya lagi.