SHAH ALAM: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan dakwaan beliau akan segera dibebaskan jika Barisan Nasional (BN) menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, Najib berasa kecewa dengan dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai propaganda politik yang tidak berasas biarpun sudah dipenjarakan.

“Anak guam kami secara konsisten sejak permulaan perbicaraannya pada 2018 mahu dibebaskan melalui proses kehakiman di mahkamah kerana beliau bukan sahaja mahu mendapatkan kebebasan tetapi membuktikan integriti dan legasinya.

“Datuk Seri Najib yakin peluangnya untuk dibebaskan dari penjara adalah melalui permohonan semakan kehakiman yang dikemukakan sejajar dengan Peraturan 137 dan Peraturan Mahkamah Persekutuan 1995,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Muhammad Shafee menambah, permohonan semakan itu adalah secara khusus bersandarkan kepada asas bahawa proses dan keputusan dibuat Mahkamah Persekutuan ketika rayuannya, adalah menafikan hak perlembagaannya bagi pendengaran kehakiman yang adil.

Ia memandangkan peguam Najib tidak diberikan peluang untuk bersedia secara mencukupi bagi proses rayuan menyebabkan mereka tidak dapat mengemukakan hujah bagi pembelaan, sekali gus meletakkan Najib tanpa sebarang wakil pembelaan yang efektif di mahkamah.

“Jika semakan kehakiman ini cenderung kepada anak guam kami, beliau akan memohon perbicaraan semula di bawah proses lebih adil dan seimbang bagi membuktikan kedudukan tidak bersalahnya.

“Ia akan memberikan peluang dan ruang untuk kesnya termasuk mengemukakan fakta serta bukti yang sebelum ini tidak diperolehi pihak pembelaan ketika perbicaraan,” ujar beliau.

Jelas Muhammad Shafee, berikutan permohonan anak guamnya ditolak bagi perintah sekatan media sebelum permulaan perbicaraan SRC, beliau turut memohon kepada mahkamah bagi membolehkan perbicaraannya distrim secara langsung dalam talian.

Jelasnya, ia bagi membolehkan masyarakat meneliti proses perbicaraan, yang mana ia adalah satu amalan sudah dilaksanakan di pelbagai mahkamah di dunia, berbanding dengan hanya bergantung kepada laporan terhad dibuat oleh media perdana.

“Anak guam kami kekal menyatakan beliau tidak bersalah, tidak pernah menggunakan sesen pun dari RM42 juta bagi dirinya dan tidak pernah meminta atau ditawarkan sebagaimana digambarkan dalam perbicaraan SRC.

“Malah, sebagaimana dicatatkan dalam perbicaraan, beliau telah membelanjakan RM642 juta yang diterima dari akaun bank milik Kementerian Kewangan Arab Saudi bagi kegunaan inisiatif kebajikan atau melalui parti politik dan badan bukan kerajaan dan ini juga bukan untuk kegunaan diri sendiri.

“Anak guam kami turut menyatakan sekali lagi, beliau tidak pernah dan tidak akan meminta semua pertuduhannya digugurkan tanpa melalui proses kehakiman yang adil dan seimbang,” jelasnya.

Justeru katanya, Najib menggesa semua seteru politik agar tidak lagi menggunakan namanya bagi propaganda politik dan membenarkan proses perundangan dan kehakiman yang adil serta seimbang dapat dilaksanakan. -- Sinar Harian