Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan kenyataan seorang tokoh yang mengatakan negara akan menjadi miskin.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelbagai fakta mengenai ekonomi negara selama ini diseleweng sekali gus menjadikan rakyat keliru dengan isu berkenaan.

"Selain itu, tiga perkara utama yang dijelaskan Najib adalah isu cabaran ekonomi, dana RM2.6 bilion dan 1MDB.

"Najib menyatakan perlu betulkan fakta yang telah diselewengkan oleh serangan yang pelbagai terutama oleh serangan seorang tokoh yang berkata bahawa negara ini menjadi miskin dan rakyat menjadi pengemis.

"Sejak Najib mengambil alih pentadbiran negara pada 2009, KDNK negara meningkat daripada RM202 bilion kepada RM326 bilion pada tahun ini," katanya semasa sidang media selepas Majlis Taklimat Presiden di PWTC malam tadi.

Selain itu, Ahmad Zahid menjelaskan, isu lain diterangkan Najib adalah berkaitan dana RM2.6 bilion.

"Najib sudah jelaskan ia bukan duit awam atau duit 1MDB. Perkara ini juga telah disahkan oleh SPRM sendiri.

"Selain itu, penderma telah disahkan dan telah pun ditemui oleh SPRM dan SPRM turut telah mengambil kenyataan daripada mereka," katanya.

Dalam isu 1MDB pula kata Ahmad Zahid, taklimat mengenai isu ini telah pun diberikan kepada anggota-anggota Kabinet.

"Najib menjelaskan negara juga mempunyai pelan rasionalisasi untuk menyelesaikan masalah ini," katanya.