PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak dan anaknya, Datuk Mohd Nazifuddin untuk penangguhan sementara pelaksanaan penghakiman terus yang diperoleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) agar mereka membayar tunggakan cukai pendapatan lebih RM1.7 bilion sehingga memperoleh kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Datuk Azizah Nawawi membenarkan penangguhan itu setelah mendengar hujah peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili bekas perdana menteri itu dan Mohd Nazifuddin serta Ketua Peguam Cara Hasil Dr Hazlina Hussain.

Dua hakim lain ialah Datuk M.Gunalan dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali.

"Ini adalah keputusan sebulat suara. Kami mendapati ada keadaan khas yang membolehkan kami menggunakan budi bicara untuk membenarkan penangguhan sementara pelaksanaan penghakiman terus dalam kedua-dua permohonan sehingga pendengaran permohonan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan," Azizah.

Sebelum itu, dalam hujahnya peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata terdapat keadaan khas untuk penangguhan diberikan.

Beliau berkata akan terdapat beberapa kesan seperti Najib kehilangan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen dan tidak akan lagi dapat bertanding dalam pilihan raya jika diisytiharkan muflis.

"Pelaksanaan sekarang terjadi kerana mereka (LHDN) berusaha sepantas kilat untuk membuat anak guam saya muflis. Penguatkuasaan (penghakiman terus) perlu ditangguhkan untuk membolehkan anak guam saya membuat permohonan kebenaran (untuk merayu) dan juga rayuan itu sendiri," katanya.

Beliau juga berhujah terdapat niat jahat pihak kerajaan untuk mengisytiharkan Najib muflis kerana jelas adanya kesalahan dalam penilaian tambahan.

LHDN, katanya, berniat jahat antaranya telah mengira sebagai pendapatan sumbangan yang diterima anak guamnya daripada Almarhum Raja Abdullah dari Arab Saudi, yang telah dikembalikan, pindahan antara bank dalam akaun bank Najib dan membatalkan cek.

"Ini mala fide (niat jahat) untuk menyatakan anak guam saya muflis walaupun terdapat kekurangan dalam penilaian," katanya.

Sementara itu, Hazlina berhujah tuduhan bahawa LHDN bertindak dengan niat jahat dalam tindakan itu adalah tidak berasas.

Najib seharusnya tampil dan membuat pembayaran ansuran, kerana ini adalah tindakan biasa yang diambil oleh mana-mana pemiutang penghakiman, tambahnya.

Pada 9 Sept lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan LHDN untuk mendapatkan penghakiman terus bagi menuntut tunggakan cukai sebanyak RM1.69 bilion daripada Najib dan RM37.6 juta daripada Mohd Nazifuddin.

Pada hari yang sama, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil membenarkan permohonan penangguhan sementara Najib dan Mohd Nazifuddin dengan syarat mereka memfailkan notis usul dan permohonan penangguhan selewat-lewatnya minggu ini.

Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan sesuatu kes secara terus tanpa memanggil saksi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan.

Mereka mengemukakan rayuan terhadap kedua-dua keputusan yang dibuat di Mahkamah Tinggi berasingan.

Pada 22 Julai tahun lepas, Hakim Datuk Ahmad Bache membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus terhadap Najib dalam samannya bagi menuntut tunggakan cukai sebanyak RM1.69 bilion bagi tempoh antara 2011 dan 2017.

Pada 6 Julai tahun lepas, Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim memerintahkan Mohd Nazifuddin membayar RM37.6 juta selepas membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus terhadapnya bagi menuntut tunggakan cukai bagi tempoh antara 2011 dan 2017.

Pada 4 Feb lepas, LHDN mengeluarkan notis kebankrapan terhadap Najib susulan kegagalan beliau membayar tunggakan itu kerana penghakiman terus tersebut tidak ditangguhkan manakala Mohd Nazifuddin turut mendapat notis serupa pada 30 April lepas, juga kerana gagal melunaskan tunggakan sebagaimana yang diarah oleh Mahkamah Tinggi.

Najib dan Mohd Nazifuddin kemudian memfailkan notis usul secara berasingan pada 14 Sept lepas bagi memohon kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak permohonan mereka.

Mereka memohon Mahkamah Persekutuan memutuskan sembilan isu perundangan.

-- BERNAMA