Pilihan raya umum akan hanya diadakan selepas kerajaan berpuas hati dengan pelaksanaan dasar transformasi yang dirancang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata hari yang ditunggu akan diumum selepas misi membela rakyat sampai ke golongan sasar.

Ujarnya, kerajaan perlu merancang dengan rapi sehingga rakyat mendapat manfaat dari dasar yang diperkenalkan.

“Tunggulah! Tak lama lagi kita akan membuat pilihan raya. Kita boleh membuat perubahan di negeri-negeri yang buat masalah pada kita," beliau berkata semasa majlis pelancaran PR1MA Seremban Sentral.

Ketika mengulas tentang pemimpin parti pembangkang yang enggan menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya, beliau berkata, “Dia kutuk kita macam-macam. Ini bukan cara bagi kita untuk memberi keyakinan pada rakyat. Rakyat akan yakin kepada siapa? Yakni apa yg kita cakap itulah yang kita lakukan dan kita amalkan.”

Justeru kata Najib lagi , rakyat seharusnya hanya mempercayai parti yang yakin dan benar-benar membantu rakyat.