"Sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-56 pagi ini jelas menunjukkan semangat cinta rakyat kepada negara selaras tema "Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku," kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Saya berasa seolah-olah bulu roma saya meremang, melihat betapa besarnya semangat patriotik yang dapat kita lihat," katanya kepada para peserta sejurus selepas tamat perarakan dan perbarisan di Dataran Merdeka, di sini.

Sambil diiringi timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, selaku pengerusi jawatankuasa sambutan Hari Kemerdekaan ke-56, beliau merakamkan rasa syabas dan terima kasih kerajaan kepada pelbagai jawatankuasa sambutan, anggota pasukan keselamatan, agensi kerajaan dan swasta serta para pelajar yang mengambil bahagian .

Katanya, tema itu amat tepat kerana "kita lahir di bumi Malaysia, kita membesar di bumi Malaysia, kita mencari rezeki di bumi ini dan insya-Allah akan disemadikan di bumi Malaysia ini."

Ia juga membawa pengertian besar kepada kemerdekaan yang menuntut rakyat mempertahankan nilai kemerdekaan itu dengan jiwa raga dan nyawa mereka, katanya.

Najib turut berharap agar semangat patriotik yang dipamerkan rakyat hari ini terus diwarisi khususnya dalam kalangan generasi muda demi membawa negara ke puncak kejayaan sebagai sebuah negara maju.

Beliau turut memuji pertunjukan yang dipersembahkan pada hari ini khasnya anggota keselamatan yang mempertahankan negara dalam insiden pencerobohan di

Lahad Datu, Sabah baru-baru ini yang disifatkan dapat memperkasakan semangat cintakan negara di setiap sanubari rakyat Malaysia.

"Inilah harapan kita, harapan kesinambungan perjuangan agar semangat patriotik itu kita sematkan dalam setiap lubuk hati kita bahawa kita adalah warga Malaysia yang cintakan negara," katanya.