KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan ubat yang diberikan kepada Datuk Seri Najib Razak semasa menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) adalah jenis sama dan dalam senarai ubatan kementerian.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bekas Perdana Menteri itu juga berada dalam keadaan sihat sebelum dibenarkan keluar dari hospital selepas menerima rawatan pada 9 September lalu.

"KKM ingin memaklumkan bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak telah dimasukkan ke HKL pada hari Jumaat sebagai kes elektif (bukan kecemasan) untuk memastikan kesihatan beliau berada pada tahap yang baik dan optimum.

"Pemeriksaan dan ujian berkaitan telah dijalankan oleh pakar-pakar perunding kanan bertauliah yang terdiri daripada ketua-ketua perkhidmatan klinikal bagi bidang masing-masing," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Masalah Kesihatan | Tekanan darah Najib tinggi, berbahaya

Terdahulu, Pegawai Khas Najib, Muhamad Mukhlis Maghribi memaklumkan, tekanan darah Najib dilapor berada pada tahap tinggi dan berbahaya susulan pertukaran ubat yang diberikan untuk merawat masalah ulser di dalam perutnya.

Jelas Muhamad Mukhlis, ujian kolonoskopi yang dijalani oleh Ahli Parlimen Pekan itu pada Sabtu lalu mendapati doktor menemui beberapa ulser baharu di dalam perutnya.

Susulan keadaan tersebut, Najib yang kini sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang memohon untuk pemerhatian di HKL.

Permohonan itu, bagaimanapun, didakwa ditolak oleh pegawai perubatan yang merawatnya.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata pihak HKL telah mengadakan sidang keluarga (family conference) sebanyak dua kali yang dihadiri oleh Najib dan ahli keluarganya.

Beliau menambah, keputusan ujian-ujian telah dimaklumkan semasa sidang tersebut mengikut amalan profesional kedoktoran.

"Mereka juga telah dimaklumkan mengenai keputusan sebulat suara pakar-pakar perunding agar beliau dibenarkan untuk didiscaj dari HKL," ujarnya lagi.

Dr Noor Hisham menegaskan, KKM komited dan telus dalam pemberian perkhidmatan kesihatan kepada mana-mana individu, namun, dalam masa sama mempunyai tanggungjawab mematuhi tata etika kerahsiaan pesakit di bawah Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012).

Begitupun, kata beliau, sebarang maklumat terperinci mengenai kesihatan seseorang pesakit boleh dikemukakan kepada mahkamah sekiranya diarahkan.