PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tiba di Istana Kehakiman di sini pada jam 9.20 pagi ini.

Ketibaan beliau disambut lebih 100 penyokongnya, yang mula memenuhi kawasan luar bangunan mahkamah tersebut sejak awal pagi.

Mereka yang dilihat berkumpul mulai jam 7.30 pagi itu tidak berganjak, menanti ketibaan Najib dan melaungkan pelbagai kata-kata semangat buatnya.

BACA: 10 bas penyokong Najib tiba dari Pekan

Laungan seperti "Bossku", "Lawan Tetap Lawan", "Hidup Bossku" dan "Parlimen Pekan" kedengaran semakin kuat ketika Najib tiba di mahkamah.

Kenderaan membawa Najib yang turut membawa anaknya, Nooryana Najwa, berhenti seketika di hadapan kumpulan penyokong tersebut.

Ahli Parlimen Pekan itu kemudiannya keluar dari kereta sebentar untuk bertemu penyokongnya, membuatkan suara sorakan mereka semakin kuat.

Selepas itu, Najib memasuki semula kenderaan dan masuk ke dalam bangunan mahkamah untuk menyambung prosidingnya.

BACA: Kes SRC: Prosiding rayuan akhir Najib hari ini