KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terpaksa dirujuk kepada pakar di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana masalah cirit-birit dan tidak dapat hadir perbicaraan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB). 

Perkara itu disahkan Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Penjara Kajang, Dr Mohd Hafiz Mohd Hoshni yang dipanggil dalam prosiding pada Selasa. 
 
Najib dilaporkan mengadu sakit perut, loya, dan ke tandas empat kali untuk membuang air besar.

"Kemudian saya memberikan ubat kepada Datuk Seri, bagaimanapun selepas 10 minit keadaan beliau masih tidak berubah.

"Saya buat pemeriksaan dan dapati beliau turut mengalami kekurangan air dan sedikit demam dengan suhu 37.8 Celsius.

"Saya merujuk Datuk Seri kepada pakar di HKL dan beliau dibawa ke sana pada jam 9.30 pagi. Ketika itu beliau kelihatan penat, lesu, dan kekurangan air.

"Pakar di HKL memberikan cuti sakit selama dua hari.

"Beliau tidak cergas untuk menghadiri perbicaraan di mahkamah kerana perlu diberi drip yang dimasukkan salam saliran darah dan tidak mampu berdiri sebab duduk terlalu lama," jelasnya. 

Najib yang didapati mengalami cirit-birit sejak semalam dirujuk ke HKL bagi mendapat rawatan yang lebih baik.

Sehubungan itu, mahkamah menangguhkan perbicaran pada Selasa serta Rabu, dan prosiding akan bersambung Khamis ini.

Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.