Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yakin mahkamah merupakan platform terbaik untuk beliau membersihkan nama daripada segala pertuduhan yang dikenakan ke atas dirinya.

Dalam satu wawancara khas bersama Sinar Harian hari ini, bekas Presiden UMNO itu berkata, beliau yakin keadilan akan memihak kepadanya selagi mana sistem kehakiman itu dapat berfungsi dengan adil, serta memberi hak pembelaan sewajarnya kepada beliau.

“Tapi cuma saya minta berlaku adil, maknanya saya sebagai seorang rakyat Malaysia dapat hak pembelaan dalam mahkamah yang adil. Maknanya proses penghakiman termasuk hakim sendiri dan sebagainya adalah dalam lingkungan prinsip adil.

“Dan ini amat penting, sebab kalau kita sebut sebut tentang rule of law, salah satu tiang utama dalam rule of law adalah sistem penghakiman yang adil. Seorang itu tidak bersalah sehingga terbukti kesalahannya,” katanya lagi.

Walaupun enggan memberi perincian tentang segala pertuduhan berkenaan, Najib berkata, ada di antara dakwaan terbabit tidak munasabah.

Namun, beliau tidak menafikan hak kerajaan untuk membuat pertuduhan, tetapi beliau dan pihak peguamnya yakin masa akan menentukan kebenaran.

Media sebelum ini melaporkan, antara pertuduhan yang dihadapi beliau termasuklah melibatkan diri dalam aktiviti rasuah dan pengubahan wang haram.

Dakwaan tersebut dibuat di bawah Seksyen 24(1) Akta SPRM, dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001 dengan cara menerima, menggunakan dan memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram.